KUCHING, 28 Jun: Seorang penjual mi di Pasar Sentral Sibu berputih mata selepas wang simpanannya sebanyak RM231,792 lesap akibat ditipu oleh tiga bomoh.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata, wanita berusia 65 tahun itu didatangi tiga wanita tidak dikenali pada 23 Jun lepas ketika berada di pasar berkenaan dan mereka mendakwa pandai menilik nasib.
Kata beliau, salah seorang suspek yang dipercayai warganegara China dan dua rakyat tempatan itu memberitahu mangsa akan mengalami nasib malang dan terlibat dalam kemalangan maut.
“Oleh itu mangsa dinasihatkan supaya mengeluarkan wang untuk disembahyangkan bagi membuang nasib malang yang akan dialaminya,” katanya menerusi kenyataan media semalam.
Mohd. Azman memberitahu, mangsa mengeluarkan wang simpanannya sebelum memasukkan ke dalam beg berwarna biru seperti yang diarahkan oleh suspek.
“Mangsa kemudian diminta untuk bersembahyang dan menyerahkan beg kepada salah seorang suspek.
“Setelah selesai, mangsa diminta pulang ke rumah bersama beg itu dan dimaklumkan hanya boleh membukanya selepas sebulan,” katanya lagi.
Kata beliau, mangsa hanya sedar ditipu apabila membuka beg tersebut pada 24 Jun dan mendapati kesemua wangnya lesap.
“Sehubungan itu, polis menasihatkan agar orang ramai berhati-hati dengan individu yang mengaku bomoh yang meminta dibayar dengan jumlah harta atau wang yang banyak,” katanya.
Orang ramai boleh menghubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 jika anda merupakan mangsa penipuan siber (phone scam, love scam, e-dagang, pinjaman tidak wujud dan sebagainya) dan sekiranya anda baru sahaja membuat transaksi pemindahan wang ke mana-mana akaun bank atau e-wallet suspek. – TVS