Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri menunjukkan antara kenderaan mewah yang disita dalam serbuan tersebut. - Foto: Luqman Muhammad

Operasi polis di Sungai Padungan: Dadah, sitaan cecah RM1.4 juta

ByLuqman Muhammad

KUCHING, 28 Jun: Serbuan polis di sebuah pusat hiburan di Jalan Sungai Padungan, di sini berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan jumlah rampasan dan sitaan mencecah RM1.4 juta.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata, operasi pada pukul 1.20 pagi Ahad lepas itu dilakukan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

Katanya, lima lelaki serta seorang perempuan tempatan dan seorang perempuan warga asing berusia dalam lingkungan 26 hingga 42 tahun turut ditahan.

“Pemeriksaan yang dijalankan ke atas mereka menjumpai 12 paket jus berisi serbuk campuran disyaki dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) dengan anggaran berat 540 gram,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai operasi berkenaan, Mohd. Azman memberitahu, seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang disyaki membekalkan dadah di pusat hiburan tersebut turut ditangkap.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri menunjukkan 45 paket jus berisi serbuk disyaki dadah jenis ekstasi (anggaran berat 2,085.90 gram) – Foto: Luqman Muhammad

“Kesemua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM197,458 yang boleh digunakan oleh seramai 8,877 orang penagih dadah.

“Antara yang dirampas termasuklah 45 paket jus berisi serbuk disyaki dadah jenis ekstasi dengan anggaran berat 2.085 gram, 63 biji pil disyaki dadah jenis ekstasi dengan anggaran berat 25.20 gram dan satu paket plastik berisi ketulan jernih disyaki dadah jenis ketamin dengan anggaran berat 20 gram,” kata Mohd Azman lagi.

Dalam pada itu kata beliau, polis turut menyita harta bernilai RM1,171,490 membabitkan empat buah kenderaan, lapan barang kemas, tiga buah beg tangan, lima utas jam tangan, 10 unit telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM30,650 termasuk mata wang Singapura sebanyak $300.

Menurut Mohd. Azman, permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah telah dibuat pada 25 Jun 2023.

“Kesemua suspek direman selama lima hari bermula 25 hingga 30 Jun 2023 manakala suspek lelaki berusia 30 tahun direman selama tujuh hari,” katanya.

Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -TVS 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan