KUCHING, 28 Jun: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak berpuas hati di atas kejayaan penganjuran Rainforest World Music Festival (RWMF) 2023 yang berakhir Ahad lepas.
Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau gembira kerana segala aktiviti yang dirancang berlangsung dengan baik malah tiada perkara tidak diingini berlaku sepanjang festival tiga hari itu.
Menurut Abdul Karim, beliau turut menerima laporan mengenai peningkatan jumlah pengunjung.
“Saya ingin kongsikan jumlah pengunjung yang hadir di Kampung Budaya Sarawak sempena RWMF2023 adalah lebih kurang 19,000 berbanding lebih 16,000 pada tahun lepas,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Gerbang Umrah Kuching di sini hari ini.
Sementara itu Abdul Karim berkata, beliau turut berkesempatan hadir RWMF 2023 dan berdasarkan maklum balas diterima oleh peniaga cenderahati, mereka mengakui sambutan terhadap jualan pada tahun ini memuaskan.
“Mereka (peniaga) mencadangkan agar RWMF dianjurkan tiga kali setahun. Ini menunjukkan semuanya berjalan dengan baik dan harapan kita supaya dapat mengulangi pencapaian sama pada penganjuran tahun depan,” katanya.
Mengenai kehadiran pelancong ke Sarawak pula, Abdul Karim berkata, kementerian yakin jumlahnya akan meningkat secara mendadak bermula Jun hingga ke hujung tahun.
“Ini berdasarkan strategi berkesan yang telah dirangka.
“Kita sediakan pelan untuk tambah jumlah pengunjung sejak Januari hingga Mei, setiap bulan pelancong melepasi jangkaan,” katanya.
Abdul Karim menambah, berdasarkan pelbagai acara menarik yang bakal berlangsung di Sarawak, beliau yakin jumlah pelancong akan terus meningkat. -TVS