Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Rajiee Narawi sudah menawarkan perkhidmatan gunting rambut di Sarikei selama hampir 40 tahun. Foto TVS.

Hanya RM5, Rajiee tidak menang tangan gunting rambut di Sarikei

ByYazid Ibrahim

SARIKEI, 28 Jun: Berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) bisu tidak menjadi penghalang buat Rajiee Narawi berusaha mencari rezeki untuk menyara keluarganya.

Berusia 69 tahun, Rajiee masih setia dengan pekerjaannya sebagai tukang gunting rambut sejak lebih 40 tahun lalu.

Pada awalnya, dia ‘beroperasi’ di Pasar Sarikei sebelum berpindah ke Kampung Seberang, di sini.

Menurut anaknya, Mohd. Rafiuddin, 26, ayahnya tidak pernah mengikuti kursus menggunting rambut secara profesional dan hanya belajar kemahiran itu daripada seorang kawannya yang berbangsa Cina.

“Setelah kuasai teknik memotong dan merapi, ayah membeli peralatan seperti gunting dan sikat rambut untuk memulakan perniagaan. Ketika itu, mesin elektronik belum digunakan.

“Seiring peredaran zaman, sekarang ayah juga sudah gunakan mesin kerana lebih mudah untuk memotong rambut pelanggan,” katanya kepada TVS baru -baru ini.

Pelanggan beratur selepas Subuh hingga ke Isyak

Bercerita lanjut, Rafiuddin berkata, perkhidmatan yang ditawarkan oleh ayahnya sentiasa menjadi pilihan.

“Malah ada pelanggan dari luar Sarikei yang sanggup datang ke sini semata-mata mahu mendapatkan perkhidmatan gunting rambut daripada ayah,” katanya.

Beroperasi di sebuah kedai kecil di hadapan rumah, Rajiee sebenarnya tidak menang tangan untuk memotong rambut.

Mohd Rafiuddin Rajiee bersama ayahnya Rajiee Narawi ketika ditemubual oleh TVS di kedai gunting rambutnya di Kampung Seberang Sarikei di sini. Foto: Aziz Soleh (TVS).

“Menjelang musim perayaan termasuk Hari Raya Aidiladha esok, biasanya pelanggan lebih ramai berbanding biasa.

“Mereka mula beratur selepas Subuh dan berlarutan sehingga Isyak,” katanya.

Ketika itu, Rafiuddin memberitahu, dia akan turun padang membantu bapanya supaya pelanggan tidak perlu tunggu lama.

Puluhan tahun gunting rambut dengan Rajiee

Bagi pelanggan yang sering menggunakan khidmat Rajiee pula, mereka sangat berpuas hati dengan hasil kerjanya.

Buang Akup, 62, berkata, dia sudah ‘menyerahkan kepala’ kepada Rajiee sejak berusia belasan tahun lagi.

“Saya merupakan pelanggan tetap.Biasanya saya akan gunting rambut dua kali dalam tempoh sebulan.

“Anak-anak serta cucu saya juga menggunakan khidmat Rajiee,” katanya.

Sementara itu, Rafiuddin berkata, majoriti pelanggan bapanya memahami yang ayahnya berdepan kesukaran bercakap.

“Mereka sudah faham dan tahu untuk berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat, jadi bapa faham kemahuan pelanggannya,” katanya.

Hanya RM5 caj gunting rambut di kedai Rajiee

Teknik menggunting yang kemas dan harga murah.

Dua perkara ini menjadikan perkhidmatan Rajiee sering dicari oleh pelanggan.

Menurut Rafiuddin, bapanya mengenakan caj serendah RM5 untuk orang dewasa dan RM4 untuk kanak-kanak.

“Bapa tidak berhasrat untuk menaikkan harga kerana dia khuatir akan membebankan pelanggan.

“Dahulu harga yang dikenakan hanya RM3 sahaja, kemudian naik kepada RM4.

“Mungkin suatu hari nanti akan dinaikkan tetapi tidaklah terlalu tinggi,” katanya.

Ditanya bagaimana memahami komunikasi dengan bapanya, Rafiuddin memberitahu, dia belajar sendiri sejak kecil.

Sementara itu, Rafiuddin berkata, dia berharap supaya perniagaan bapanya itu akan terus mendapat sambutan dan memberitahu, bapanya turut berhajat untuk membesarkan kedai. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan