KUCHING, 27 Jun: Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak menyarankan agar Kejohanan Boling Tenpin Sarawak Hornbill Team Cup dapat dijadikan acara tahunan.
Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini kerana kejohanan yang dianjurkan oleh Persatuan Tenpin Boling Sarawak (ABAS) itu mampu menjadi medan mencungkil bakat – bakat baharu boling Sarawak dan negara.
Katanya, Perbadanan Sukan Sarawak juga memberi sokongan padu kepada usaha mengembangkan sukan di sini.
“Saya difahamkan kejohanan ini juga akan disertai oleh atlet – atlet yang akan bertanding pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak.
“Sudah tentu kejohanan ini bagus kerana atlet yang telah berlatih bersungguh -sungguh perlu bertanding bagi mengekalkan tahap mereka,” katanya pada sidang media sempena kejohanan itu di sini hari ini.

Kejohanan dijadual berlangsung bermula 3 hingga 9 Julai depan di Megalanes Emart Batu Kawa.
Sebanyak 36 pasukan telah mengesahkan penyertaan termasuk enam dari Sabah, dua dari Pulau Pinang dan pasukan boling remaja kebangsaan.
Selangor dan Kuala Lumpur turut menghantar wakil dan akan bersaing bersama 22 pasukan dari Sarawak.
Juara akan membawa pulang wang tunai RM10,000 manakala tempat kedua (RM7,000) dan RM5,000 untuk pasukan yang menamatkan cabaran di tempat ketiga. -TVS