KOTA SAMARAHAN, 27 Jun: Rakyat Sarawak tidak perlu cepat melatah susulan catatan seorang peguam menerusi laman sosial baru-baru ini yang memperlekehkan Sarawak.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Sarawak) Datuk Abdullah Saidol berkata peguam berkenaan mungkin tidak terdedah dengan maklumat dan keadaan sebenar negeri ini.
“Saya menyeru agar penduduk Sarawak tidak terlalu terpengaruh dan cepat melatah terhadap individu yang kurang memahami keadaan. Saya berpendapat bahawa penting bagi kita untuk berkongsi maklumat yang tepat tentang Sarawak,” katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Perasmian Cetusan Inspirasi Pelajar Tahun Akhir (CIPTA) di Universiti Malaysia Sarawak, di sini, hari ini.
Abdullah diminta mengulas mengenai catatan seorang peguam di laman sosial peribadinya yang antara lain menyatakan Sarawak bukan tempat indah untuk meneruskan kerjaya.
Antara lain, peguam itu turut menulis: “Kalaulah saya ni kakitangan awam, diminta bertugas di Sabah atau Sarawak, saya akan ‘resign’ 24 jam.”
Katanya lagi: “(Sarawak) Bukan tempat yang praktikal untuk merancang hidup berkeluarga. Bukan tempat yang ideal untuk membesarkan anak-anak pada usia persekolahan.”
Mengulas lanjut, Abdullah berkata beliau terkejut dengan kecetekan pandangan dan gambaran seorang peguam mengenai Sarawak.
“Kenyataan beliau tentang banyak perkara mengenai Sarawak menunjukkan beliau begitu ketinggalan maklumat terkini dan penilaian yang kurang bijak.
“Mungkin beliau tidak tahu bahawa Sarawak memiliki institusi pengajian tinggi seperti UNIMAS, Swirnburne, Curtin, UCSI, UiTM dan beberapa pusat latihan seperti Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (Centexs),” ujarnya.
Katanya, Sarawak juga menggunakan peruntukan sendiri untuk membina lima sekolah antarabangsa dengan yang pertama akan mula beroperasi tahun ini.
Sarawak juga membina sebuah pusat inkubator seperti TEGAS Digital Village yang berjaya melahir ramai usahawan digital menerusi program ‘start-up’ sehingga berjaya di peringkat global.
Malah, Yayasan Sarawak memberi pembiayaan tidak kurang RM50 juta setahun biasiswa dan pinjaman pendidikan anak Sarawak.
Sarawak adalah negeri pertama yang mengumum dan melaksana polisi ekonomi digital sebagai platform asas rangsangan ekonomi masa depan serta mengeluarkan peruntukan negeri tidak kurang RM1 bilion untuk membangun infrastruktur telekomunikasi.
“Sarawak adalah satu-satunya negeri di Malaysia yang mempunyai belanjawan tahunan melebihi RM10 bilion.
“Ketika negara sedang dilanda ancaman pandemik, Sarawak mampu mengeluarkan pembelanjaan sendiri untuk penghantaran bantuan bakul makanan ke setiap rumah dan bantuan lain dengan kos tidak kurang RM6 bilion,” jelasnya.
Pelbagai polisi dan agenda rangsangan ekonomi Sarawak berjalan dengan efisyen serta lancar. Kerajaan juga yakin pada akhir tahun ini, kerajaan akan mengumumkan hasil pendapatan dan belanjawan yang terbaik antara negeri-negeri di Malaysia.
“Kalau beliau merasa bekerja dalam perkhidmatan awam di Sarawak kurang menarik, mungkin beliau tidak tahu bahawa kerajaan Sarawak turut memberi bonus khas untuk kakitangan awam Persekutuan yang bekerja di Sarawak,” katanya.
Menurutnya, tindakan lebih cepat mulut dari akal sedemikian adalah tidak bertanggungjawab kerana ia boleh menimbulkan buruk-sangka dan menimbulkan kemarahan dalam kalangan masyarakat berbilang etnik dan agama.
Malah, sebagai seorang peguam, individu berkenaan sepatutnya lebih arif tentang implikasi undang-undang susulan kenyataan bersifat hasutan.
Dari aspek politik, Bumi Kenyalang adalah negeri paling stabil dan keadaan ini memberi ruang yang besar untuk pemimpin-pemimpin Sarawak memberi tumpuan kerja ke arah pembangunan lebih-lebih lagi di luar bandar.
Sarawak juga mempunyai syarikat seperti Petros dan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS), malah dalam perancangan untuk mengambil alih sebuah syarikat penerbangan.
“Saya nasihatkan beliau (peguam) agar sering mengikuti perkembangan Sarawak melalui stesen televisyen milik Sarawak iaitu TVS menerusi saluran 122 Astro dan MYTV,” katanya. – TVS