KOTA KINABALU, 27 Jun: Kerajaan giat melaksanakan subsidi bersasar bagi mengurangkan keperluan terus berhutang dan mengutamakan kepada projek pembangunan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kerajaan mencecah hampir 70 peratus dengan jumlah hutang RM1.3 trillion.
“Dalam keadaan hutang negara itu akan memberi kesan terus kepada rakyat dan kerajaan-kerajaan negeri iaitu pertamanya, ruang untuk berhutang semakin sempit dan kedua bayaran faedah tahunan juga tinggi.
“Buat masa sekarang ini, jumlahnya sudah mencecah hampir RM40 bilion dan itu menyebabkan ia mengambil sumber yang sepatutnya dibelanjakan untuk pembangunan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi libat urus bersama Kerajaan Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Selasa.
Dalam pada itu katanya, kerajaan juga mengambil langkah melaksanakan subsidi elektrik yang dijangka dapat menjimatkan antara RM6 hingga RM8 billion setiap tahun.
“Fokus seterusnya ialah subsidi diesel dan seterusnya ialah subsidi RON95 dan melalui program-program sasaran ini.
Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan Sabah menjangkakan pemulihan ekonomi negeri yang lebih baik dengan unjuran pertumbuhan yang positif pada kadar empat hingga lima peratus bagi tahun 2022 dan 2023.
Beliau berkata, unjuran ini adalah selaras dengan komitmen kerajaan untuk meneruskan momentum pemulihan ekonomi dalam semua sektor termasuklah pelaksanaan program pembangunan berimpak tinggi dan menarik lebih ramai pelabur ke Sabah.
“Meskipun berada dalam keadaan ekonomi global dan nasional yang tidak menentu, ekonomi negeri Sabah pada masa ini berada pada landasan yang tepat ke arah pemulihan apabila merekodkan pertumbuhan positif pada kadar 1.1 peratus pada tahun 2021 berbanding penguncupan sebanyak 9.2 peratus pada tahun sebelumnya.
“Pencapaian ini disokong oleh prestasi perdagangan negeri yang kukuh berikutan peningkatan positif aktiviti eksport negeri Sabah,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri II Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmy Yahya.
Hajiji berkata, agenda pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri pada masa ini dirangka berdasarkan Hala Tuju Strategik Pembangunan Negeri di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi mencapai objektif ‘Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan’.
Menurutnya, melalui hala tuju strategik ini, tumpuan dan fokus pembangunan yang telah dirancang merangkumi semua sektor ekonomi dan sosial bagi memperkukuhkan pembangunan inklusif, meningkatkan kesejahteraan rakyat, mengimbangi pembangunan wilayah, memperkasakan modal insan serta memastikan kemampanan alam sekitar, selari dengan hala tuju dan matlamat Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Kerajaan Sabah berterima kasih dan menghargai komitmen Kerajaan Persekutuan yang telah meluluskan sejumlah RM 14.976 bilion peruntukan di bawah Rolling Plan 1 (RP1) sehingga Rolling Plan 3 (RP3), RMKe-12. Peruntukan ini adalah bagi membiayai pelaksanaan sejumlah 3,436 buah projek pembangunan melalui pelbagai kementerian, termasuk 1,181 buah projek baharu dan sambungan yang diluluskan di bawah RP3.
“Pelaksanaan projek-projek ini bukan sahaja akan merancakkan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri, malah akan memberi manfaat kepada kemakmuran dan kesejahteraan rakyat”, tambahnya.
Beliau menegaskan Kerajaan Sabah komited untuk menangani isu-isu pelaksanaan projek pembangunan di negeri ini dan akan memastikan projek dan program pembangunan dilaksanakan mengikut jadual, menepati hasil dan objektif yang ditetapkan serta memberi manfaat seperti yang diharapkan.
Hajiji berkata, beberapa langkah diambil bagi mengatasi isu-isu yang menghalang pencapaian pelaksanaan projek-projek pembangunan di negeri ini, antaranya, memperkasakan pemantauan secara berterusan oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (SDO). -TVS