KUCHING, 27 Jun: Sarawak mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 6.5 peratus pada 2022 berbanding 3.1 peratus pada 2021.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata pengukuhan ekonomi itu dipengaruhi sektor Perkhidmatan sebanyak 9.6 peratus, didorong kenaikan aktiviti pengangkutan berikutan peningkatan perjalanan domestik dan antarabangsa.
“Seiring dengan kerancakan semula aktiviti ekonomi, permintaan terhadap bahan api global turut meningkat. Ini memberi kelebihan kepada sektor pembuatan Sarawak yang berorientasikan produk petroleum bertapis,” kata DOSM menerusi kenyataan media, hari ini.
Menurutnya lagi, prestasi produk petroleum, kimia, getah dan plastik yang meningkat 6.1 peratus, telah memacu pertumbuhan sektor pembuatan Sarawak kepada 5.6 peratus.
Sarawak menyumbang sebanyak 9.3 peratus kepada KDNK Malaysia.
Dalam pada itu, Sarawak merupakan antara negeri yang menyumbang terhadap pertumbuhan sektor pertanian sebanyak 14.7 peratus, perlombongan dan pengkuarian (30.6 peratus), pembuatan (10.8 peratus), pembinaan (8.8 peratus) dan perkhidmatan (5.9 peratus).
Pada 2022, Malaysia mencatatkan KDNK 8.7 peratus berbanding 3.3 peratus pada tahun sebelumnya.
“Pembukaan semula sempadan antarabangsa negara pada 1 April 2022 telah mempercepat pemulihan prestasi semua sektor ekonomi khasnya industri berkaitan pelancongan,” katanya.
Secara keseluruhan, peningkatan nilai KDNK di peringkat nasional pada 2022 ialah RM120.3 bilion berbanding tahun sebelumnya.
Empat negeri mengatasi pertumbuhan di peringkat nasional iaitu Pulau Pinang sebanyak 13.1 peratus, Selangor (11.9 peratus), Pahang (10.8 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (9.2 peratus).
Dari perspektif prestasi KDNK per kapita, semua negeri mencatatkan peningkatan berbanding tahun 2021.
Lima negeri merekodkan nilai KDNK per kapita melebihi paras nasional iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak RM127,199, Wilayah Pesekutuan Labuan (RM85,560), Sarawak (RM80,857), Pulau Pinang (RM69,684) dan Selangor (RM59,908).
DOSM turut menyatakan ekonomi semua negeri bertumbuh lebih baik berbanding 2021.
“Di sebalik ketidaktentuan ekonomi global, konflik geopolitik dan gangguan rantaian bekalan makanan, Malaysia terus berada pada trajektorinya apabila semua sektor berkembang positif berbanding tahun sebelumnya,” katanya. – TVS