KULIM, 27 Jun: Empat terkorban selepas kereta dinaiki enam individu dipercayai bertembung dengan sebuah treler di Jalan Kulim-Baling, Padang Meha di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang tadi, pasangan suami isteri berusia 34 dan 30 tahun, bayi berusia lingkungan lapan bulan dan wanita berusia 59 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Abdul Rahim Che Omar berkata, bomba yang menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.06 petang bergegas ke lokasi kemalangan sejurus itu.
“Apabila tiba, anggota bomba mendapati kesemua mangsa tersepit di dalam kereta tersebut.
“Bomba berjaya mengeluarkan empat mangsa yang meninggal dunia.
“Dua lagi iaitu kanak-kanak lelaki berumur lingkungan enam tahun dan kanak-kanak perempuan lingkungan usia dua tahun cedera parah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Rahim berkata mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala mangsa yang parah dibawa ke Hospital Kulim bagi mendapatkan rawatan. – TVS