KOTA SAMARAHAN, 27 Jun: Cetusan Inspirasi Pelajar Tahun Akhir (CIPTA), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berupaya membentuk identiti dan sahsiah pelajar selaras dengan matlamat kerajaan melahirkan modal insan berkualiti.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol berkata selain itu, CIPTA dapat mencetuskan motivasi agar pelajar sentiasa bersemangat untuk berjaya dalam pembelajaran dan kerjaya.
“Program ini juga menggalakkan semangat kerjasama dan kepimpinan dalam apa jua bidang yang mereka ceburi,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian CIPTA di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor UNIMASÂ Profesor Dr Wan Hashim Wan Ibrahim dan Dekan Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) Profesor Madya Dr Musdi Shanat.
Abdullah berkata lagi, bimbingan berterusan daripada semua pihak, terutamanya institusi pendidikan seperti sekolah seni, sangat penting untuk memperkembangkan modal insan yang berdaya saing dan memiliki jati diri yang kukuh.
“Pembangunan modal insan ini penting untuk menghadapi cabaran di masa depan dan melahirkan individu yang berkualiti.
“Acara tahunan seperti ini akan melahirkan pelajar yang berdaya saing dalam melaksanakan sebarang aktiviti di peringkat negeri mahupun lebih tinggi.
“Saya berharap program ini akan terus relevan dalam usaha menjadikan pelajar UNIMAS sebagai modal insan yang berkualiti, supaya kita dapat melahirkan graduan yang mampu memimpin dalam arah yang lebih positif,” katanya.
Bertemakan ‘Uncharted’, CIPTA yang berlangsung dari 19 Jun hingga 28 Julai 2023 di FSGK UNIMAS, akan membekalkan memberikan pengalaman berharga kepada para mahasiswa seni setelah mereka tamat pengajian.
CIPTA ini melibatkan tujuh program dari FSGK, iaitu Program Seni halus, Teknologi Senireka, Sinematografi, Muzik, Drama dan Teater, Pengurusan Seni dan Animasi.
Ini merupakan acara tahunan yang khusus untuk mempamerkan hasil penyelidikan dan kajian Projek Tahun Akhir (PTA) oleh para pelajar program di FSGK.
CIPTA ini mempamerkan 128 hasil karya terbaik pelajar FSGK secara individu dan berkumpulan. – TVS