KUCHING, 27 Jun: Golongan belia dinasihatkan supaya bijak mengurus kewangan bagi mengelakkan diisytihar muflis, kata Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak berkata, golongan belia terutama yang baharu memasuki dunia pekerjaan juga perlu peka tentang keutamaan mereka ketika berbelanja.
Kata beliau, ini termasuklah menyedari sumber pendapatan sebenar sebelum membuat perbelanjaan.
“(Saya tidak nafikan) majoriti jika boleh pada umur yang masih muda 20 tahun sudah bercita-cita untuk memiliki kereta ‘sport’.
“Bank (pula) akan sentiasa memberi pinjaman dengan (syarat tertentu seperti mempunyai) dua hingga tiga penjamin (namun persoalannya) bolehkan anda mengekalkannya (untuk membayar pinjaman),” katanya.
Abdul Karim berkata demikian sebagai mengulas isu seramai 31,140 belia berusia 35 tahun ke bawah telah didaftarkan sebagai bankrap sejak 2014 hingga Mei 2023 yang dibahaskan di Dewan Negara, semalam.
Sementara itu, Abdul Karim berkata, keadaan itu hanya dapat diperbaiki sekiranya belia memikirkan impak akibat tindakan mereka.
“Apabila seseorang itu diisytihar bankrap, banyak kemudahan akan ditarik.
“Mereka tidak dapat ke luar negara, susah untuk membuat pinjaman selain tidak dapat memegang jawatan dalam persatuan,” katanya.
Keadaan itu kata beliau boleh membuatkan kehidupan mereka yang terjejas menjadi huru-hara.
“Oleh itu, sebelum anda (belia) terjebak, saya berharap agar jangan terlalu ghairah untuk berbelanja.
“Bina kerjaya dan stabilkan kewangan sehingga anda rasa mampu untuk memenuhi kehendak masing – masing,” tegas Abdul Karim. -TVS