LIMBANG, 26 Jun: Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah menempelak tindakan segelintir pihak yang gemar mengkritik dan menyebarkan berita palsu mengenai kelewatan projek pembangunan yang dilaksanakan kerajaan, tanpa meneliti terlebih dahulu.
Jelasnya, beberapa proses perlu dilalui untuk menyiapkan sesuatu projek kerajaan dan kaedah sama digunakan dalam semua projek kerajaan di negara ini.
Ahli Parlimen Limbang itu berkata, seharusnya pihak berkenaan perlu mengetahui prosedur pelaksanaan projek pembangunan yang perlu mengambil masa dan bukannya seperti buat hari ini, esok siap.
“Ingat ini bikin apa, buat jalan, buat jambatan hari ini sebut besok jadi ka? Saya terus terang di sini saya tuju kata-kata saya ini kepada yang menyebarkan ini, saya tidak marah, saya mengajar kamu, beritahu kamu hari ini sebut besok bukannya terus jadi, banyak prosesnya.
“Orang yang dulu menjadi pembangkang seumur hidup sekarang menjadi kerajaan bila dia masuk dalam kerajaan baharu dia tahu dulu hentam seperti dialah paling pandai dalam dunia, tetapi bila hari ini jadi kerajaan, baharu mereka tahu bagaimana,” katanya pada Majlis Perasmian Malam Kebudayaan Sempena Pesta Medamit 2023 di Dewan Terbuka Nanga Medamit di sini, semalam.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Palu Gumbang serta isteri Mary Sindang dan Timbalan Pengerusi Serakup Dayak Iban Sarawak (Sadia) Limbang, Jangan Bakar.
Hasbi menjelaskan lagi ada pihak yang mempertikaikan perkembangan projek jalan luar bandar termasuk pembinaan Jalan Bukit Lubok Ke Limpaku Pinang dan Jalan Hulu Kubong ke Hulu Pandaruan menuju ke Medamit, Bukit Sagan hingga ke Ulu Lubai dan Jambatan Semena dan Jambatan Enseriban di Hulu Medamit.
Lebih menyedihkan katanya, banyak berita palsu yang ditular dalam media sosial mengenai perkembangan projek tanpa menyelidik terlebih dahulu meskipun kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan projek berkenaan siap awal.
Katanya lagi, projek pembinaan Jambatan Sungai Limbang yang kini dalam fasa pembinaan turut menjadi ‘mangsa’ tohmahan sesetengah pihak meskipun kerajaan bertungkus lumus menyiapkan projek yang dikategorikan sakit sebelum ini. – TVS