KUCHING, 26 Jun: Kerajaan Sarawak menyasarkan Bumi Kenyalang akan muncul sebagai destinasi utama bagi pelancongan golf di rantau ini, kata Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri turut mahu melihat Sarawak tersenarai sebagai destinasi golf terbaik.
Ke arah itu katanya, Kerajaan Sarawak akan terus menyokong industri berkenaan termasuk usaha promosi bagi melonjakkan potensi sektor berkenaan.
“Kita mungkin akan tambah bilangan padang golf di Sarawak dan tingkatkan kualiti padang jika sambutannya menggalakkan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Persatuan Pelancongan Golf Sarawak (SGTA) dan Pelancaran Sarawak Destinasi Golf Terbaik.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I, Datuk Sebastian Ting dan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan.
Sementara itu, Abdul Karim berkata, Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sentiasa menyokong usaha mempromosi produk pelancongan negeri.
Kata beliau, perkara itu yakin mampu dicapai menerusi kerjasama dengan SGTA.
“Sarawak perlu menjadi antara lokasi pilihan bagi kejohanan golf atau untuk tujuan pelancongan golf seperti di Korea Selatan, Jepun dan Australia.
“Menerusi peruntukan yang disalurkan, kita boleh menggunakannya untuk menganjurkan kejohanan golf dan mempromosi ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Ketika ini kata Abdul Karim terdapat tujuh kelab golf dengan sembilan padang 18 lubang di Sarawak yang mampu dipromosikan sebagai destinasi acara golf.
Antaranya ialah di Damai Golf and Country Club, Sibu Golf Club, Samarahan Country Club, Eastwood Valley Golf and Country Club dan Miri Golf Club. – TVS