KUCHING, 26 Jun: Festival muzik terbesar Malaysia, Rainforest World Music Festival (RWMF) 2023 melabuhkan tirainya malam tadi setelah tiga hari diadakan di Kampung Budaya Sarawak, Santubong.
RWMF yang menjadi tarikan orang ramai seluruh dunia menghimpunkan barisan artis tempatan serta antarabangsa dengan persembahan muzik yang mengetengahkan muzik etnik masing-masing.
Bagi James Welson berasal dari New Zealand, ini kali pertama dia menyaksikan RWMF yang disifatkan pengalaman yang cukup menarik.
“Antara pengalaman yang paling saya suka ialah mendapat kenalan baharu ketika membeli makanan dan (persembahan) Olena Uutai sangat menakjubkan. Kami pasti akan datang lagi tahun hadapan,” katanya ketika ditemui TVS.
Bagi Pauline Linang Ajun pula, walaupun merupakan kelahiran Sarawak, namun ini merupakan pertama kali dia menyaksikan persembahan festival muzik tahunan itu.
Katanya, pengalaman pertamanya merupakan satu pengalaman yang cukup berharga dan mendorongnya untuk hadir pada RWMF tahun hadapan.
“Tahun sebelum ini saya tidak berpeluang menyertai RWMF kerana kerja tetapi kali ini saya berusaha untuk pergi. Jadi saya berasa amat gembira kerana berpeluang menjadi salah seorang pengunjung,” ujar Pauline.
Selain itu turut berkongsi pengalaman, Jessica Hugh yang menyatakan ini kali pertama dia melihat orang ramai dari pelbagai latar belakang, negara datang untuk berkumpul di satu tempat.
“Saya berasa teruja melihat orang ramai dari pelbagai tempat, bukan setakat orang tempatan dan anda juga boleh melihat orang dari luar negara dan mereka semua boleh bergaul bersama dengan mudah sambil berhibur,” jelas Jessica.
RWMF 2023 berjaya menarik kehadiran kira-kira 20,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.
RWMF 2023 catat rekod baharu Malaysia
Selain menghimpunkan persembahan menarik, festival ini turut memuatkan pelbagai program lain seperti bengkel muzik, kebudayaan, pameran kraf tangan serta gerai-gerai makanan dan minuman. – TVS