KUCHING, 26 Jun: Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) edisi ke-26 melabuhkan tirainya pada Ahad malam dengan beberapa pengunjung yang ditemui dalam kalangan ribuan yang menyaksikan pesta muzik tahunan itu, menzahirkan kepuasan mereka dengan suasana dan persembahan yang disajikan.
Bagi warga Poland, Olga Czop, 22, festival tiga malam yang bermula sejak Jumaat lepas membuktikan Sarawak berkemampuan menjadi pentas untuk pesta muzik yang begitu unik serta mempunyai identiti yang tersendiri.
“Budaya dan masyarakat di Borneo sungguh berbeza sekali dengan masyarakat di semenanjung Malaysia. Perkara ini amat mengejutkan saya yang pertama kali menjejakkan kaki ke sini,” katanya yang merupakan seorang peserta program pertukaran pelajar di Universiti Malaya.
Menurutnya jika tidak kerana penglibatannya dalam program pertukaran pelajar itu, sudah tentunya beliau tidak akan berpeluang untuk mengetahui kewujudan RWMF ini yang disifatkannya sebagai satu pesta yang penuh warna-warni.
Rakannya, Anita Szijarto dari Hungary, 33 pula berkata beliau begitu teruja menyaksikan aktiviti menarik yang dianjurkan sepanjang RWMF berlangsung yang dianggapnya sebagai satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan seumur hidupnya.
“Sudah tentu saya akan syorkan kepada keluarga dan rakan senegara saya yang lain untuk datang dan menyaksikan sendiri RWMF ini,” katanya yang turut menyarankan beberapa penambahbaikan seperti sistem pembayaran bagi memudahkan pengunjung luar sepertinya.
Persembahan muzik terbaik, pengunjung kongsi pengalaman pertama saksi RWMF 2023
Jelasnya, penganjur perlu menyediakan mesin ATM memandangkan kawasan Kampung Budaya Sarawak yang terletak di Santubong ini agak jauh dari bandar.
“Kami dari luar memerlukan wang tunai untuk membuat sebarang pembelian memandang kami tidak boleh menggunakan sistem pembayaran SPay Global serta transaksi tunai yang melibatkan sistem e-wallet perbankan tempatan,” katanya.
Pengunjung tempatan, Olizer Mckenzie, 38, pula tidak pernah ketinggalan setiap tahun ke acara RWMF itu dan beliau merasa bangga kerana Sarawak mampu menganjurkan festival yang lain daripada yang lain.
“Bagi saya RWMF ini sungguh unik dalam memartabatkan muzik dan tradisi Sarawak ke persada dunia, bukan sahaja memperkenalkan budaya Borneo malah memberi peluang kepada rakyat sendiri mengenali dunia luar menerusi muzik.
Turut senada Michelle Greenie, 35, yang juga pengunjung tempatan berkata penganjuran RWMF umpama acara meraikan kepelbagaian muzik tradisi pelbagai negara tanpa mengira perbezaan warna kulit, bahasa, budaya serta adat resam.
“Boleh dikatakan RWMF menyatukan manusia sejagat, walaupun berbeza budaya, agama, falsafah dan ideologi semua boleh berhibur bersama dan berkongsi kegembiraan melalui muzik dan saya bangga Sarawak mampu menghasilkan produk seperti ini,” katanya.
RWMF edisi ke-26 yang bertemakan ‘Reflection’ mengimbau kembali penganjuran pertamanya pada 1998 dengan hanya sejumlah 300 penonton menghadiri acara itu, namun kini ia menjadi acara ikonik Sarawak yang disertai ribuan pengunjung dari seluruh pelosok dunia.
Untuk tahun ini, penganjur festival turut mencipta rekod baharu dalam Malaysia Book of Records bagi kategori “Most Percussionists in a Music Festival” bagi menyampaikan mesej perpaduan, kebersamaan dan semangat kesatuan yang kuat kepada ramai selain mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata festival ini adalah masa untuk merenung kembali hubungan manusia dengan alam semula jadi yang diterjemahkan melalui muzik bagi memahami dunia sekeliling dengan lebih mendalam.
“Ini juga masa yang sesuai untuk mengiktiraf kuasa transformatif RWMF, yang juga disifatkan muzik melangkaui sempadan. Orang ramai dari semua peringkat umur, bangsa dan agama telah berkumpul di Muzium hidup Sarawak, (Kampung Budaya Sarawak) untuk berkongsi minat sama dalam menikmati gabungan budaya asli dan kepelbagaian etnik yang terkaya di dunia,” katanya dalam kenyataan.
Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Denis Ngau pula berkata selama lebih 20 tahun, acara RWMF telah menampilkan pelbagai artis dari luar yang mempersembahkan muzik serta tarian kebudayaan masing-masing.
“Sebagai rakyat dunia, acara ini telah merapatkan kita bersama, dan sebagai rakyat berbilang kaum, ia telah membawa kita lebih dekat dengan budaya dan tradisi kita sendiri yang rancak serta memberikan pemahaman tentang budaya dunia,” katanya.
Edisi RWMF kali ini menghimpunkan sejumlah 199 penghibur dari Perancis, Tanzania, United Kingdom, Jamaica dan Amerika Syarikat, Iran, Maldives, India, Rusia, Thailand, Jepun, Singapura, dan Malaysia. – TVS