SARIKEI, 26 Jun: Kerajaan Sarawak sedang mempertimbangkan pemberian ganjaran kepada seorang guru wanita di Tanjung Manis yang melindungi murid – muridnya dalam kejadian amuk pada 13 Jun lepas.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, guru Tabika Kemas Kampung Rajang itu bertindak berani apabila melindungi kanak-kanak di situ daripada dicederakan oleh suspek.
“Kita akan cuba beri ganjaran setimpal kepada guru berkenaan di atas pengorbanan beliau,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Bantuan Ibu Bersalin (BIB) di Hospital Sarikei di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 pagi itu, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang dipercayai di bawah pengaruh dadah mengamuk di situ.
Remaja itu juga cuba memasuki salah satu bilik darjah namun dihalang oleh guru wanita itu.
Guru berkenaan turut dilaporkan cedera di beberapa bahagian badannya ketika melindungi sembilan muridnya. -TVS