PAKAN, 26 Jun: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakan akan terus memberi tumpuan terhadap penanaman kelapa sawit bagi meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata penanaman kelapa sawit memberi pendapatan lumayan untuk penduduk setempat jika dibandingkan dengan tanaman lain.
“Penanaman lada sememangnya menjadi kegiatan utama penduduk meskipun harganya tidak stabil kebelakangan ini. Tetapi kelapa sawit memberi saingan dari segi pulangan dan harga. Ia juga senang diuruskan oleh mereka (penduduk).
“Kalau kita lihat, hampir dua minggu sekali penduduk akan menuai hasil dan menjualnya untuk menambahkan pendapatan. Kalau industri penanaman getah pula, kita melihat ia dilihat bukan aktiviti yang sesuai untuk penduduk di Pakan terutamanya dari segi pulangan yang baik jika dibanding lada dan kelapa sawit,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Program Konvoi Kembara Merdeka di Rumah Sedau, Jagoi Pakan, hari ini.
Menyentuh mengenai pembangunan, Mawan memaklumkan beberapa jalan yang menghubungkan Pakan dan kawasan lain termasuk Sarikei dalam peringkat pembinaan dan penambah baikan.
Sementara itu, beliau turut menegaskan keharmonian penduduk pelbagai bangsa dan agama di Pakan turut membantu mempercepatkan pembangunan di kawasan berkenaan.
“Komuniti di sini hidup dalam keadaan harmoni dan perkahwinan campur antara pelbagai kaum adalah perkara biasa dan inilah yang kita sebutkan sebagai perpaduan dalam kepelbagaian.
Sementara itu, Kaunselor Gundi Matan dari Rumah Panjang Sungai Kawi Ulu Entaih berkata pembinaan jalan raya yang sempurna menuju ke rumah panjang di kawasan Pakan sedikit sebanyak memudahkan mereka bergiat aktif dalam penanaman kelapa sawit.
Katanya, banyak penduduk di rumah panjang telah mula bergiat aktif dalam penanaman kelapa sawit yang memberikan pulangan kepada mereka dan membantu memacu pertumbuhan ekonomi penduduk setempat. – TVS