SEREMBAN, 26 Jun: Bapa kepada penuntut Institut Pengajian Pentadbiran dan Pengurusan (INSTAR), Pangkalan Udara Sendayan, Masdi Md Isa, 57, tidak menyangka video kiriman anaknya yang diterima tiga hari lepas menjadi kenangan terakhir buat mereka sekeluarga.
Anaknya, Laskar Udara I Mohd Iqmal Masdi, 22, merupakan seorang daripada dua mangsa yang terkorban dalam insiden kemalangan ketika menjalani latihan menembak senjata dan bom lempar di Tapak Latihan Grenade Asas, lapang sasar Kem Syed Sirajuddin, Gemas tengah hari semalam.
Seorang anggota TUDM maut, dua jurulatih cedera ketika latihan menembak
“Dia ada hantar satu video wajah dia tiga hari sebelum kejadian, dia senyum tapi saya tengok wajah dia nampak sayu, dia memang selalu hantar video pada adik-beradik dia, mereka rapat, tapi kali ini lain, nampak sayu, saya perasan itu tapi tak ada fikir bukan-bukan.
“Tapi inilah ketentuan-Nya, saya terima dan pasrah. Saya bangga dengannya walaupun terkorban semasa latihan, itu bukan kesalahan, itu takdir dia, saya terima hakikat itu dan reda apa yang berlaku ke atasnya,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Rawa Ulu Batu 1, Lenggeng di sini hari ini.
Masdi berkata tiada apa-apa perubahan ditunjukkan Mohd Iqmal semasa kali terakhir keluarga bertemu ketika dia pulang bercuti hujung minggu lepas, malah sempat memberitahu tidak akan pulang minggu ini kerana menjalani latihan.
“Saya jumpa dia dekat pintu pagar rumah, saya peluk dia macam biasa, saya dengan anak-anak memang macam kawan-kawan, dia tak ada tunjuk apa-apa, dia okey sahaja, suka senyum seperti biasa,” katanya.
Selain Mohd Iqmal yang disahkan maut di tempat kejadian kira-kira pukul 12.10 tengah hari itu, seorang jurulatih Koperal Udara Syuib Bidin, 33, turut meninggal dunia pada 5.45 petang ketika menerima rawatan akibat kecederaan parah di Hospital Segamat, Johor.
Seorang lagi jurulatih Koperal Udara Khairuzaman Lokman, 35, dilaporkan stabil dan sedang menerima rawatan dan pemantauan rapi di hospital berkenaan.
Bercerita mengenai keperibadian Allahyarham yang juga anak ketiga daripada enam beradik itu, Masdi berkata Mohd Iqmal merupakan seorang yang tidak mudah berputus asa, selain seorang yang ceria dan baik dengan keluarga.
“Dia memang tak ada cita-cita nak jadi anggota waktu kecil, tapi sebelum ini dia pernah mohon untuk jadi seorang anggota polis tapi tak lulus, kemudian dia cuba lagi sebagai anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan berjaya, sepanjang dua tahun dia kerja, memang dia akui seronok,” katanya.
Dalam pada itu, Masdi turut berterima kasih kepada TUDM yang membantu urusan anaknya dari awal selain meminta rakyat Malaysia untuk mendoakan kesejahteraan anaknya.
“Dia memang wira bagi saya, dia bukan pergi suka-suka, dia pejuang dan diamanahkan supaya buat benda itu dan dia laksanakan dengan baik, sebagai ayah dia terbaik,” katanya.
Jenazah Allahyarham Mohd Iqmal dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Rawa Hulu mengikut istiadat ketenteraan selepas asar.-TVS