AUCKLAND, 26 Jun: Formula kesefahaman dan keharmonian yang mengekalkan perpaduan kaum dan agama di Sarawak wajar dikongsi bersama dengan komuniti di luar Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kesefahaman penting bagi mengeratkan hubungan sesama masyarakat demi kesejahteraan semua.
“Sebagai seorang pemimpin beragama Islam yang bertanggungjawab mentadbir dan membangun sebuah wilayah yang berbilang kaum dan agama, kepimpinan harus bersifat inklusif,” katanya pada Mesyuarat Majlis Dakwah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) di sini, hari ini.
Abang Johari yang juga Presiden RISEAP berkata adalah menjadi kewajipannya untuk memastikan agama lain diberi peluang selari untuk berkembang maju berdasarkan lima prinsip Maqasid yang merangkumi perlindungan nyawa, perlindungan harta, perlindungan kesihatan, perlindungan terhadap agama dan perlindungan maruah.
“Penghormatan hanya boleh diperolehi melalui pembangunan agama dan kaum yang inklusif,” katanya.
Katanya lagi, di Sarawak, agama lain dibantu melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).
“Pada 2023, saya memperuntukkan RM100 juta kepada UNIFOR bagi tujuan pembinaan rumah ibadat mereka,” katanya.
Dalam masa yang sama, Abang Johari juga menyeru masyarakat Islam agar peka dengan perubahan teknologi serta isu-isu berkaitan kelestarian.
“Sarawak kini mendahului aspek ini dengan pengenalan ekonomi digital, penyelidikan, pembangunan hidrogen dan ekonomi hijau serta inisiatif bagi menangani perubahan iklim seperti Penggunaan Penyimpanan Tangkapan Karbon (CCUS) dan perdagangan karbon,” katanya.
Abang Johari dijadual berada di New Zealand sehingga Rabu. – TVS