AUCKLAND, 26 Jun: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kini berada di Auckland bagi mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari sebagai Presiden Majlis Dakwah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) ke New Zealand.
Lawatan ke negara Kiwi itu merupakan lawatan pertama Abang Johari ke negara anggota sejak dilantik sebagai Presiden RISEAP pada awal tahun ini.
Formula keharmonian di Sarawak wajar dikongsi bersama – Abang Johari
Pagi ini, Abang Johari mengadakan pertemuan dengan wakil dari negara-negara anggota dari Australia, Fiji dan Papua New Guinea.
Malam ini, beliau dijangka menghadiri satu majlis makan malam bersama menteri-menteri tempatan di New Zealand di sebuah hotel.
Turut serta dalam lawatan itu, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi yang juga menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam, Mufti Negeri Sarawak, Datu Kipli Yasin dan Setiausaha Kehormat RISEAP, Dato Mohamad Marzuki Mohamad Omar.
RISEAP kini dianggotai 24 negara sejak ditubuhkan pada 1980 oleh pengasasnya, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dengan membawa objektif bagi menyatukan negara-negara minoriti Islam di Asia Timur dan Pasifik untuk mengejar cita-cita kolektif dalam tujuan Islam. – TVS