IPOH, 25 Jun: Seorang wanita ditemui maut dipercayai dipukul dengan batang penyapu selepas terlibat dalam pertengkaran dengan teman lelakinya di tingkat atas sebuah rumah kedai di Taman Song Choon di sini awal pagi tadi.
Polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 4.30 pagi daripada seorang wanita berusia 30 tahun yang memaklumkan mangsa berusia 24 tahun ditemui dalam keadaan cedera parah.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Yahaya Hassan berkata, saksi memberitahu dia menyedari berlaku pergaduhan antara mangsa dengan teman lelakinya di dalam unit yang disewa pasangan itu.
Ujarnya, polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terbaring di atas katil sebelum disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
“Polis kemudiannya berjaya memberkas teman lelaki mangsa berusia 23 tahun di lokasi kejadian yang disyaki memukul wanita itu.
“Turut ditahan ialah tiga individu lain berusia 29 hingga 65 tahun di lokasi kejadian untuk siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, hasil ujian saringan air kencing mendapati teman lelaki mangsa positif syabu manakala suspek lain negatif.
Difahamkan, suspek lain merupakan ahli keluarga teman lelaki mangsa yang datang ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan berhubung kejadian itu.
Suspek dan mangsa dikatakan tinggal di rumah kedai berkenaan bersama seorang bayi lelaki berusia lapan bulan hasil perhubungan mereka.
Sementara itu, Yahaya berkata, kesemua suspek direman selama seminggu bermula hari ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. -TVS