KUCHING, 25 Jun: Pendapat individu tertentu yang kononnya Sabah dan Sarawak bukan tempat ideal untuk mengembangkan kerjaya tidak semestinya benar.
Perkara itu juga tidak boleh dijadikan batu asas dalam membuat penilaian, kata pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Madya Dr Aila Abdul Latif.
Dalam soal ini ujar Aila, kematangan digital amat diperlukan terutamanya pada zaman semua orang boleh memiliki media sosial dan menulis pelbagai perkara.
“Oleh itu kita tidak boleh cepat melatah, perlu bijak mempertimbangkan apa yang dikatakan oleh setiap orang,” katanya kepada TVS.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan seorang peguam di Facebook yang berpandangan Sabah dan Sarawak bukan tempat indah untuk meneruskan kerjaya.
Peguam itu menerusi hantaran sama menulis, penjawat awam seperti polis, doktor dan guru yang dihantar bertugas ke Sabah dan Sarawak merupakan satu bentuk hukuman dan bukan rahsia lagi.
Susulan itu, peguam berkenaan hari ini mengakui beliau menerima ribuan komen daripada pengikut di media sosialnya berhubung kenyataan itu.
Mengulas lanjut, Aila berkata, dalam konteks pengurusan atau pencapaian dalam organisasi, tidak semua tempat memerlukan individu yang paling hebat.
“Kualiti sebenarnya amat subjektif kerana ianya bergantung kepada persekitaran kerja dan orang di sekeliling.
“Orang paling hebat dalam bidangnya mungkin tidak dapat menyerlahkan kualiti dimiliki sekiranya tidak kena dengan pengurusan situasi dan perubahan yang dilaluinya,” katanya.
Berkenaan kenyataan yang Sarawak dan Sabah masih jauh ketinggalan dalam aspek pembangunan pula, Aila berkata, sebenarnya Sarawak berkembang mengikut masa dan kesetiaan masyarakatnya.
“Mungkin ambil sedikit masa untuk bermula tetapi ekonomi baharu yang sedang diteroka (oleh Kerajaan Sarawak) sekarang ini merupakan ekonomi yang lestari dan untuk jangka masa panjang.
“Peluang ini harus digunakan sebaik mungkin (dan boleh dicapai) dengan kepelbagai bakat dan kepakaran yang dimiliki (oleh Sarawak),” katanya. -TVS