KUCHING, 25 Jun: Kumpulan dari Indonesia, Rizal Hadi and folk mengakui mereka menekankan kepentingan menjaga alam sekitar menerusi muzik yang diperjuangkan.
Tidak hanya bercakap kosong, penyanyi utamanya, Rizal Hadi berkata, kecintaan itu dibuktikan dalam bentuk tindakan.
Katanya, antara yang dilakukan ialah menghasilkan drum dan bass dengan menggunakan buluh.
“Kami mengambil berat mengenai perubahan iklim.
“Saya bangga untuk mengatakan yang muzik menjadi platform bagi kami memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya kita memelihara alam sekitar,” katanya kepada TVS.
Kumpulan itu merupakan antara barisan artis antarabangsa yang dijemput membuat persembahan pada malam terakhir Rainforest World Music Festival (RWMF) 2023.
Pentas RWMF 2023 di Kampung Budaya Sarawak pada malam ini juga bakal dihangatkan dengan persembahan oleh Big Mountain, Suk Binie, Tuku Kame, Geng Wak long, Afriquoi, Meruked dan Safi Theatre. -TVS