NILAI, 25 Jun: Kerajaan akan berunding untuk mencapai keseimbangan supaya kadar faedah negara tidak menyebabkan pelabur asing membawa keluar wang dalam usaha mengatasi masalah kejatuhan nilai ringgit.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejatuhan nilai mata wang ringgit dipengaruhi oleh kadar faedah negara yang terlalu rendah dan jika kerajaan menaikkan kadar faedah terlalu tinggi, ia akan membebankan syarikat-syarikat kecil dan sederhana.
“Kalau saya ada RM1 juta, saya hendak masuk ke bank. Saya ada pilihan antara Malaysia, Singapura dan Indonesia. Singapura dan Indonesia ada kadar faedah tinggi.
“Jadi saya pilih simpan untuk di luar (Indonesia dan Singapura). Itu masalah kita sekarang,” katanya pada Program Temu Anwar Negeri Sembilan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, semalam.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan seorang pelajar Tingkatan Enam dikenali sebagai Adriana yang ingin tahu tindakan kerajaan dalam memulihkan kembali nilai mata wang negara.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, walaupun berdepan dengan kejatuhan nilai ringgit, pertumbuhan ekonomi negara terus menyaksikan peningkatan pada suku pertama tahun ini mengatasi Singapura, Indonesia dan China.
“Kalau ekonomi kita menjunam itu lain, maka nilai mata wang jatuh, pelaburan jatuh dan pertumbuhan jatuh. Kita tidak, pelaburan kita baik RM71 bilion untuk empat bulan pertama. Cuma kita kena cari jalan untuk bawa balik pelaburan dengan beberapa insentif.
“Saya kata buat hab kewangan di Johor salah satunya, kemudian MM2H (Malaysia Rumah Kedua Ku) untuk bawa orang boleh bawa masuk wang dan beberapa lagi saya umum minggu lalu dan beberapa langkah yang sedang kita memikirkan,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar mengakui usaha untuk membawa lebih banyak pelaburan ke negara ini tidak mudah kerana pelabur asing masih mempunyai persepsi dan keraguan terhadap kestabilan negara berikutan terdapat desas-desus yang mengatakan akan berlakunya peralihan kerajaan pada Ogos ini.
“Ada baiknya sebab orang (pelabur) lebih yakin pada saya daripada mereka. Dia kata kalau Anwar masih memimpin, kerajaan stabil dia lebih yakin. Kalau ganti orang lain, dia tarik balik. Bukan saya mahu kempen untuk Kerajaan Perpaduan tetapi ini kenyataan,” katanya. – TVS