KUCHING, 24 Jun: Projek menaik taraf dan menambah fasiliti di kawasan Pusat Beli-Belah Vivacity di Kuching akan memungkinkannya menjadi kawasan satelit kepada pembangunan di bandaraya ini, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak itu berkata, projek naik taraf itu akan mengguna pakai model sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu negara.
“Disebabkan kawasan ini terletak di antara Samarahan dan Kuching, berkemungkinan ia akan menjadi satu kawasan satelit kepada pembangunan Bandaraya Kuching.
“Mungkin kita akan menjadikan Midvalley di Kuala Lumpur sebagai model kerana kita lihat kawasan ini pembangunannya sama seperti Midvalley.
“Di sini kita ada pusat beli-belah dan juga kawasan perumahan yang akan dibangunkan menjuruskan ke kawasan Samarahan,” katanya ketika sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Pusat Beli-Belah Vivacity di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sarawak, Datu Abdullah Zulaihi dan Pengarah Coramax Sdn Bhd, Alan Sim.
Jelas Abang Johari, pemaju projek mengesahkan akan membangunkan dua bangunan iaitu Vivacity 2 dan bangunan 20 tingkat yang dikenali sebagai NEST.
Sementara itu, mengulas mengenai lawatan kerja beliau ke pusat beli-belah berkenaan, Abang Johari memberitahu bahawa kehadiran beliau adalah untuk melihat pelan lalu lintas di kawasan berkenaan.
“Kedatangan saya untuk melihat sistem trafik kerana di kawasan ini kita sudah meluluskan beberapa projek antaranya Vivacity dan bangunan hostel untuk penuntut antarabangsa dari Universiti Swinburne, jadi sudah tentu kawasan ini kesesakan lalu lintasnya meningkat.
“Oleh itu, saya dan rakan-rakan ingin melihat sumbangan pembangunan ini ke arah perkembangan lalu lintas dan saya telah dimaklumkan oleh pihak pemaju bahawa mereka mengambil alih beberapa bidang tanah di sini untuk membesarkan jalan menuju ke Vivacity,” jelasnya. -TVS