Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Tingkatkan latihan, penggunaan teknologi pekerja kontraktor di Sarawak – Abang Johari

ByAhmad Burhanuddin

KUCHING, 24 Jun: Taraf latihan dan penggunaan teknologi dalam kalangan pekerja kontraktor di Sarawak harus sentiasa ditingkatkan, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Sehubungan itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri telah memberikan sebanyak tiga buah jentera traktor kepada Persatuan Kontraktor Melayu Sarawak (PKMM) sebagai salah satu inisiatif bagi mencapai hasrat tersebut.

Katanya, pada masa kini, harga jentera itu boleh mencecah lebih sejuta ringgit bagi ketiga-tiga buah traktor berkenaan.

“Ini bermakna kalau kontraktor kita agak susah membeli traktor yang mahal, maka kita membantu dengan membeli dan memberikannya kepada persatuan.

“Sekarang ini, saya juga memberi (bantuan) kepada Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) kerana masyarakat Bumiputera yang ingin membeli jentera ini susah kerana harganya yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Cawangan Negeri Sarawak Ke-24 Tahun 2023, di sini, malam tadi.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Sementara itu, kata Abang Johari, kontraktor-kontraktor di Sarawak juga boleh dilatih melalui Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

“Pertama, kita boleh memberi latihan kepada kontraktor supaya kita tidak bergantung kepada orang lain dan seterusnya turut memberikan latihan kepada para pekerja kita.

“Kedua pula, bagi yang telah berjaya, mereka boleh mengambil pelajar dari universiti sebagai pelajar ‘intern’ (latihan industri) untuk bekerja dengan syarikat mereka dan menjadikan pelajar yang menjalani latihan industri ini sebagai pakar pekerjaan dalam syarikat berkenaan,” katanya.

Justeru, Abang Johari berkata, ia boleh meningkatkan kemahiran pekerja kontraktor di Sarawak dan melangkah ke hadapan, ia juga dapat dilaksanakan dengan cara yang baharu.

Menurutnya lagi, Sarawak juga ingin berkongsi teknologi dengan rakan-rakan dari Semenanjung Malaysia dan pada masa sama, turut mengalu-alukan kedatangan orang semenanjung ke negeri ini jika hendak berkongsi kepakaran tertentu. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan