Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Orang-Orang Drum Theatre ketika ditemui TVS. Foto: Nina Azman (TVS)

RWMF 2023: Dari pentas Sziget Festival ke pentas ‘muzik dunia’, OODT mahu promosikan rentak Malaysia

ByMuqri Aziz

KUCHING, 24 Jun: Seramai 15 penghibur Orang-Orang Drum Theatre (OODT) yang kini sudah sedekad dalam industri hiburan mahu platform Rainforest World Music Festival (RWMF) 2023 dijadikan sebagai pentas mempromosikan rentak Malaysia.

Menurut Penolong Pengarah Artistik OODT, Zyee Leow, mereka berasa teruja kerana diberi peluang untuk terus mengukuhkan dan memperkenalkan irama rentak Malaysia kepada penonton yang hadir.

“Kami sangat teruja kerana pentas RWMF adalah pertama kali kami melakukan persembahan di sini di mana ia memberi peluang kepada penghibur-penghibur seperti kami untuk mengenali dan menyelami budaya-budaya yang ada di sini.

“Pada masa sama, ini adalah peluang terbaik selepas sahaja kita menghadapi penularan wabak COVID-19 untuk mengembangkan lagi pengetahuan dalam berbagai genre muzik yang ada di sini,” katanya.

Ditanya mengenai konsep persembahan, katanya, mereka mengetengahkan rentak Malaysia dengan beberapa buah drum yang ada di Malaysia seperti gendang, drum Cina dan sebagainya.

“Malaysia adalah sebuah negara kaya dengan budaya kerana kita mempunyai berbagai kaum, bahasa, makanan dan muzik serta rentak.

“Jadi, kami sebagai penghibur pemain drum mahu rentak Malaysia dipromosikan dengan berkolaborasi dengan artis antarabangsa serta menggabungkan rentak Malaysia dengan rentak yang ada di Malaysia Timur terutamanya Sarawak.

“Sebagai contoh, kami mempunyai sebuah lagu dengan menggabungkan rentak Malaysia dengan lagu rakyat Sarawak iaitu Penong Jaie, Leleng dan Tum Ketumbak bertajuk Tuyang Sit in the Corner,” katanya lagi.

Mereka telah melakukan persembahan mereka pada semalam (23 Jun) dan akan melakukan ‘Pocket Performances’ pada esok (25 Jun) di Rumah Cina, Kampung Budaya Sarawak (SCV) pada jam 2 petang.

Untuk rekod, OODT telah menyertai beberapa pentas muzik festival dunia antaranya Sziget Festival 2019, WOMADELAIDE 2020, Venice Open Stage serta Danse en Ville di Belgium dan Jerman.

Mereka juga merangkul dua anugerah BOH Cameronian Arts Awards iaitu ‘Best Music and Sound Design’ dan Best Group Performance serta menjuarai Port Dickson Beach Drums and Percussion Challenge 2017 dengan lagu ‘Beat Now’, ‘Bersama-Sama’ dan ‘We Sing We Play We Feel in the Chaotic City.’ – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan