Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyaksikan Memorandum Persefahaman antara Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Mohd. Roslan Sulaiman (kiri) dan Pengurus Besar PUSAKA, Datu Hashim Bojet (kanan). Foto: TVS

Pengeluaran kayu dari hutan semula jadi tidak boleh melebihi 9.2 juta meter padu setahun – Awang Tengah

Miri, 24 Jun: Bagi mengekalkan industri pembalakan, pengeluaran kayu dari hutan semula jadi tidak boleh melebihi 9.2 juta meter padu setahun seperti yang disyorkan oleh Pertubuhan Kayu Tropika Antarabangsa (ITTO).

Untuk itu, lesen kayu jangka panjang dikuatkuasakan bagi mengurangkan kebergantungan produk balak dari hutan semula jadi, sebaliknya dari pokok hutan yang ditanam, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

“Kita tidak boleh terus bergantung kepada kayu dari hutan semula jadi. Walaupun ITTO ada mengesyorkan untuk pengeluaran balak tidak melebihi 9.2 juta meter padu setahun, sekarang pengeluaran dari hutan semula jadi lingkungan 3.5-4 juta meter padu setahun. Ia menurun sebab kita sudah kuat kuasa dan mandatori terutamanya untuk lesen kayu jangka panjang untuk melaksanakan pensijilan.

 

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menerima cenderamata disampaikan Pengurus Besar PUSAKA, Datu Hashim Bojet. Foto: TVS

“Ini penting supaya produk kita boleh diterima pasaran antarabangsa. Kita mengurangkan hasil daripada hutan semula jadi. Kita tumbuh lebih banyak di hutan yang ditanam. Sebab itu negeri Sarawak adalah negeri pertama mempunyai ordinan sendiri untuk penanaman pokok,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-50 Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) Peringkat Wilayah Utara di sini, malam tadi.

Pada akhir tahun 2000, PUSAKA melaksanakan pensijilan hutan khususnya dalam hutan semula jadi seiring dengan inisiatif Pengurusan Hutan Lestari (SFM) oleh ITTO dan diikuti dengan inisiatif pensijilan hutan tanam di bawah Program Pengendorsan Pensijilan Hutan (PEFC) bagi memastikan bahan mentah yang mampan untuk industri perkayuan selain memastikan pengiktirafan global dan penerimaan produk akhir.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bersama para tetamu melancarkan gimik perasmian. Foto: TVS

Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) juga ditubuhkan bagi meningkatkan lagi polisi industri kayu dan menambah baik pengurusan hutan selain pengurusan industri pembalakan Sarawak dilihat sebagai model untuk pengurusan balak di negara-negara lain.

Sekitar 98 peratus produk utama eksport balak ialah kayu plywood, kayu venir dan kayu bergergaji dan kerajaan telah mengenal pasti industri baharu untuk menghasilkan produk bernilai tinggi seperti kayu panel, perabot dan produk berasaskan buluh serta biojisim untuk pasaran global.

Hal ini selari dengan sasaran yang ditetapkan untuk industri pembalakan di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS2030) bagi menjana pendapatan eksport tahunan RM8 bilion dalam usaha Sarawak menjadi sebuah negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Majlis juga menyaksikan upacara Pertukaran Memorandum Persefahaman Kursi PUSAKA antara PUSAKA dan Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi mempertingkatkan pembangunan industri perkayuan serta industri berasaskan pertanian dan tenaga yang boleh diperbaharui. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan