KUCHING, 24 Jun: Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) akan mengadakan sesi pengambilan awal bagi pegawai dan perajurit muda Siri 2/2023 secara datang terus pada 29 Julai, di PSTL Kuching, di sini.
Menurut hantaran media sosial PSTL Kuching, masa pendaftaran bermula dari jam 8 pagi sehingga 12 tengah hari.
Dokumen asal serta salinan yang diperlukan termasuklah lima keping gambar berukuran pasport, tiga salinan kad pengenalan, tiga salinan kad pengenalan waris, tiga salinan sijil kelahiran, tiga salinan sijil berhenti sekolah, tiga salinan sijil SPM, STPM, Diploma, Ijazah, tiga salinan sijil kahwin atau surat perakuan nikah (jika ada) dan alat tulis yang secukupnya.
Pemohon perlulah memakai baju putih berkolar, seluar sukan dan berkasut sukan.
Bagi calon wanita Islam tudung hendaklah berwarna gelap manakala calon wanita bukan Islam, rambut haruslah diikat kemas atau bersanggul.
Selain itu, calon lelaki haruslah bercukur misai dan janggut dan berambut pendek kemas.
Untuk syarat kelayakan lain dan maklumat lanjut, layari laman media sosial rasmi PSTL Kuching atau klik pada pautan ini untuk membaca risalah pengambilan PSSTLDM. – TVS