KUCHING, 24 Jun: Kerajaan Sarawak masih mengekalkan harga tarif elektrik sedia ada bagi pengguna di negeri ini, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak itu berkata, ini berikutan Sarawak mempunyai kekuatan yang jelas dari sudut tenaga terutamanya dari segi tenaga elektrik yang menjadikan Sarawak berupaya meneruskan langkah berkenaan.
“Banyak pihak membuat keputusan untuk menaikkan harga tarif elektrik, tetapi kita masih harga yang lama.
“Kalau harga elektriknya tinggi, sudah pasti para pelabur (dari luar negara) tidak akan datang dan pada masa sama akan menjejaskan para kontraktor untuk membuat bayaran bil mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Cawangan Negeri Sarawak Ke-24 Tahun 2023, di sini, malam tadi.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Mengulas lanjut, beliau berkata, selain tenaga elektrik, Sarawak juga mempunyai tenaga yang berasaskan air ataupun hidro.
“Sekarang ini, kita membangunkan empangan hidroelektrik di Baleh (Kapit) dan selepas itu, kita membuat keputusan untuk membina satu lagi (empangan hidroelektrik) di Trusan (Lawas).
“Ini bermakna dari sudut tenaga, Alhamdulillah, kita ada,” katanya.
Sebelum ini, menurut Abang Johari, Empangan Hidroelektrik Baleh di pedalaman Kapit, dijangka boleh memulakan operasinya pada 2028 manakala projek Empangan Hidroelektrik di Trusan, Lawas pula masih di peringkat kajian kebolehlaksanaan. -TVS