Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Sesetengah rumah panjang di Baleh masih lagi menggunakan perahu sebagai pengangkutan mereka untuk bergerak ke kawasan lain. Foto: Aziz Soleh (TVS).

Harap infrastruktur ditambah baik, elak tragedi perahu karam di Kapit

ByFebbright James

KAPIT, 24 Jun: Hampir setiap tahun berlakunya perahu karam yang melibatkan penduduk di Baleh, Kapit. Lebih menyedihkan, sebahagian daripada kejadian tersebut melibatkan kehilangan nyawa.

Justeru penduduk rumah panjang di kawasan berkenaan menaruh harapan  agar suatu hari nanti akan ada jalan atau jambatan yang menghubungkan rumah panjang dengan kawasan lain bagi memudahkan pergerakan.

Berkongsi cerita, Tuai Rumah Nanga Kemali, Panyau Semada memaklumkan, pernah berlaku tragedi perahu karam yang melibatkan isterinya disebabkan arus deras.

“Memang pernah ada peristiwa perahu karam yang melibatkan isteri saya, namun bernasib baik kerana dia terselamat dalam insiden berkenaan.

“Ia berlaku semasa air sungai pasang dan terjadinya ombak besar semasa kapal tongkang lalu di sungai Baleh dan dalam masa yang sama perahu mereka juga menyeberangi sungai berkenaan,” katanya kepada pemberita TVS.

Tambahnya, kini perjalanan menggunakan perahu lebih singkat berbanding dahulu apabila terdapat beberapa jalan yang diwujudkan namun jalan perhubungan yang lebih panjang amat diperlukan

“Sekarang ini lebih senang apabila ada jalan di tanah Kiba Ngulu yang kami gunakan sekarang. setibanya di jeti, kami akan menyeberangi sungai menggunakan perahu. Masih terdapat kesusahan,” ujarnya.

Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong. Foto: Aziz Soleh (TVS).

Bertindak dari keluhan penduduk, Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong memaklumkan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kini di peringkat melantik juruperunding untuk menilai projek jalan berkenaan dan menentukan haluan jalan yang tepat.

“Sekarang ini terpulang kepada KKDW untuk melantik juru perunding bagi melihat jalan laluan yang sesuai dari rumah Nanga Gaat, Nanga Kemali, Nanga Kaun terus ke Jalan Permaisuri yang kita ada ketika ini. Kira-kira panjangnya 30 kilometer dengan peruntukan RM180 juta.

“Tetapi kini mungkin akan ada pertambahan perbelanjaan berikutan kenaikan harga besi dan simen dan barangan yang lain. Itu terpulang kepada KKDW untuk memilih juru perunding dan berapa agihan perbelanjaan. Apa yang penting jalan itu mesti ada,” katanya.

Ujarnya, kerajaan sentiasa menitikberatkan keselamatan penduduk di rumah panjang dengan menggunakan pelbagai kaedah untuk memastikan tragedi perahu karam dapat dielakkan.

Wilson Ugak yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) berharap projek jalan dan jambatan yang dalam perancangan ketika ini akan menoktahkan kebimbangan penduduk, di samping memastikan pergerakan penduduk setempat dipermudahkan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment


Berita Berkaitan