KUCHING, 24 Jun: Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak akan terlibat dalam mana-mana Pilihan Raya Negeri (PRN) di luar Sarawak sebaliknya hanya akan memfokuskan kepada kepentingan rakyat Sarawak.
Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, dalam konteks tersebut GPS sudah ada pendirian yang tersendiri.
“Kita tidak terlibat pilihan raya di enam negeri yang akan diadakan tidak lama lagi, sebab GPS memfokuskan kepada kepentingan rakyat Sarawak. Memperjuangkan kepentingan Sarawak dan pada masa yang sama kita menyokong di peringkat persekutuan untuk dibentukkan dengan kerajaan yang stabil.
“Jadi itu prinsip yang kita (GPS) pegang sejak dulu lagi, tapi bagi Menteri-menteri yang berada dalam Kabinet termasuk Timbalan Menteri yang berada dalam Kerajaan Perpaduan, kita mungkin akan pergi ke kawasan berdasarkan program kementerian tetapi bukan untuk berkempen,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Majlis Program Love My Neighbourhood Petra Jaya di sini, hari ini.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, terbukti Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg seorang pemimpin yang dihormati bukan sahaja di peringkat negeri, malah juga dalam kalangan kepimpinan di Semenanjung Malaysia.
“Apa yang boleh saya katakan ialah keseluruhan kepimpinan di Semenanjung Malaysia tida kira di peringkat kerajaan mahupun pembangkang, melihat bahawa Premier kita salah seorang pemimpin yang dihormati,” katanya.
Katanya, Abang Johari bukan sahaja membawa Sarawak menjadi sebuah negeri yang maju dan stabil tetapi dari segi dasar strategi yang telah diumumkan membawa harapan Sarawak akan menjadi sebuah negara yang berkembang maju, seperti mana yang disasarkan menjelang 2030.
“Apa yang lebih utama lagi ia memberik semangat kepada negeri-negeri lain sebab Sarawak dijadikan negeri contoh, malahan di peringkat dunia sekali pun,” ujarnya. – TVS