KAPIT, 24 Jun: Kerajaan Sarawak diharap mempertimbangkan penubuhan sebuah syarikat telekomunikasi tersendiri bagi mempercepatkan usaha menyediakan jaringan telekomunikasi di luar bandar, demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, Nicholas Kudi Jantai.
Katanya, penubuhan syarikat telekomunikasi itu dipercayai akan menyelesaikan isu ketiadaan jaringan telekomunikasi dan internet yang ketika ini masih membelenggu penduduk khususnya di kawasan luar bandar.
Nicholas menyatakan Kerajaan Sarawak tidak boleh terlalu berharap penuh dengan syarikat yang menyediakan perkhidmatan jaringan telekomunikasi yang ada kini.
“Sekarang ini apa yang kita hadapi ialah, kerajaan telah menyediakan menara telekomunikasi, tetapi apa yang berlaku ialah tidak ada syarikat telekomunikasi yang mahu menyediakan perkhidmatan mereka di kawasan pedalaman.
“Ini kerana syarikat ini adalah syarikat yang berasaskan keuntungan. Jadi mereka akan menilai terlebih dahulu sama ada berbaloi atau tidak untuk mereka menyediakan perkhidmatan mereka di sesebuah kawasan. Sekiranya pengguna kurang dari kuota yang mereka sasarkan, mereka tidak mahu menyediakan perkhidmatan telekomunikasi di kawasan tersebut.
Beliau berkata demikian kepada TVS semasa Sambutan Konvoi Kembara Sarawak Merdeka 60 Tahun di Rumah Labang Aji, Teluk Buing Baleh Kapit.
Ujarnya, usaha ini akan memberi kemudahan kepada penduduk di kawasan luar bandar kerana kebanyakan aktiviti atau urusan setiap hari sekarang ini banyak bergantung kepada jaringan telekomunikasi.
“Oleh itu, pada pendapat saya wajar sekiranya Sarawak ada syarikat telekomunikasi sendiri sebagaimana kita akan memiliki syarikat penerbangan sendiri. Ini juga akan menjadi satu titik perubahan yang sangat besar kepada Sarawak,” tambahnya.
Senada dengan Nicholas Kudi, ADUN Pelagus, Wilson Nyabong Ijang berpendapat tidak mustahil Sarawak mampu untuk mewujudkan syarikat telekomunikasi sendiri.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan permohonan untuk kita ada syarikat penerbangan sendiri, jadi tidak salah juga untuk kita ada syarikat telekomunikasi sendiri yang menyediakan perkhidmatan kepada penduduk di luar bandar,” katanya.
Sementara itu, Tuai Rumah Pala Pulau Yun di Baleh, Wong Ensong memaklumkan ketiadaan jaringan telekomunikasi di kawasan rumah panjang menyukarkan beliau dan tuai rumah yang lain berhubung dengan kawasan lain.
“Kadang-kadang sahaja ada jaringan telekomunikasi. Kalau hujan memang tidak ada yang menyukarkan kami mendapat info sekiranya ada mesyuarat atau apa-apa jemputan aktiviti di kawasan lain,” ujarnya.
Untuk rekod, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pernah memaklumkan mengenai perancangan Sarawak untuk memiliki rangkaian telekomunikasinya tersendiri yang bertujuan untuk memperluaskan khidmat jaringan jalur lebar khasnya di luar bandar.-TVS