KUCHING, 23 Jun: Kumpulan penyanyi tempatan Sarawak, Sada Borneo sekali lagi melakukan persembahannya di pentas Rainforest Music World Festival (RWMF) 2023.
Salah seorang ahli kumpulan tersebut, Hallan Hashim berkata, kumpulan itu mahu mempersembahkan budaya Borneo serta budaya di seluruh Malaysia.
“Instrumen kami terdiri daripada pelbagai budaya dari seluruh negara, jadi kami menggabungkannya bersama untuk mempersembahkan muzik kami untuk turut mempamerkan pelbagai budaya di Malaysia.
“Uniknya pada tahun ini, kami membawa salah seorang protégé kami iaitu Nikita Sarna yang juga selaku pemain sape untuk kami mewariskan legasi ini ke generasi seterusnya,” katanya kepada pemberita ketika sesi temubual bersama barisan penghibur RWMF 2023 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata tahun ini juga merupakan tahun bagi Sada Borneo dapat beraksi di pentas utama berbanding sebelum ini, di mana Sada Borneo hanya melakukan persembahan di pentas yang kecil.
Katanya juga, Sada Borneo pada tahun ini bakal menampilkan pelbagai lagu yang dikeluarkan sebelum ini termasuk lagu debut mereka yang bertajuk Sada Borneo.
Dalam masa sama, ahli kumpulan termuda Nikita Sarna, 12, berkata dirinya tidak begitu gementar apabila melakukan persembahan di pentas yang besar walaupun menjadi penghibur termuda dalam festival tersebut.
Menurut, Hallan, pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau, Miri itu mula bermain sape ketika usia tujuh tahun apabila didedahkan dengan alat muzik tersebut oleh ahli keluarganya.
“Ia berlaku ketika sambutan Natal bersama keluarga di Kuala Lumpur. Saya melihat makcik saya menari tarian ngajat. Saya merasakan alunan tersebut ‘merasuk’ saya.
“Ahli keluarga saya kemudian memperkenalkan saya kepada Sada Borneo dan ketika Festival Sape, saya didedahkan dengan alunan muzik sape yang dimainkan. Saya terus menangis dan ketika itu saya berminat untuk belajar sape dan mula bermain dengan alat muzik tersebut,” katanya.
Mengulas lanjut, Sada Borneo berkata bakal mendendangkan persembahan mereka dari inspirasi orang sekeliling mereka yang telah memberikan mereka banyak sokongan dari awal sehingga hari ini. – TVS