KUCHING, 23 Jun: Rainforest World Music Festival (RWMF) 2023, yang merupakan festival muzik terbesar di Malaysia membuka tirainya malam ini.
Festival muzik tahunan Sarawak ini menghimpunkan artis dari pelbagai latar belakang dari dalam dan luar negara.
Antara yang artis tempatan yang membarisi persembahan buat malam ini adalah Orang-orang Drum Theatre, Buluh Berkocak, Aseana Precaution Unit, Nadir, At Adau serta persembahan utama Zee Avi.
Turut membuat persembahan malam ini, artis dari Iran yang dikenali sebagai Rastak.
Dalam pada itu TVS menemu bual para pengunjung yang menceritakan pengalaman mereka yang pertama kali menyaksikan RWMF.
David Kevan dari United Kingdom berkata walaupun ini bukan kali pertama beliau datang ke Sarawak, namun ini merupakan pengalaman pertamanya berkunjung ke festival ini.
“Muzik yang dimainkan malam ini menjangkau jangkaan saya. Saya rasa semua persembahan malam ini sangat bagus dalam gaya mereka masing-masing,” kata David.
Sam Collins, juga dari United Kingdom, berkata dia bukan sahaja kagum dengan persembahan barisan artis, tetapi juga dengan lokasinya.
“Bukan sahaja persembahan, tetapi saya juga kagum dengan tempat ini (Kampung Budaya Sarawak) dan saya mahu datang lagi lain kali,” katanya.
RWMF mula dianjurkan pada 1997 dan berjaya menarik pengunjung dari dalam dan luar negara setiap tahun.
Bukan sahaja menghimpunkan persembahan menarik, ia turut memuatkan pelbagai program lain seperti bengkel muzik, kebudayaan, pameran kraftangan serta gerai-gerai makanan dan minuman.
RWMF tahun ini diadakan mulai 23 hingga 25 Jun. – TVS