KUCHING, 23 Jun: Kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Tuku Kame membawa pembaharuan dalam identiti klasik mereka pada Rainforest World Music Festival (RWMF) 2023 kelak.
Penasihat dan pemain gendang Tuku Kame, Johari berkata, pada tahun ini kelainan yang dibawa adalah dengan menyelitkan elemen moden dalam lagu ciptaan mereka.
“Saban tahun, kami melihat kemasukan kumpulan penyanyi dengan identiti etnik tempatan semakin bertambah. Jadi kami memberikan peluang tersebut kepada mereka.
“Walaupun begitu, kami tidak akan sepenuhnya membawakan elemen moden, kami masih akan menyanyikan lagu etnik-etnik namun hanya dalam 80 peratus sahaja,” katanya kepada TVS ketika sesi temubual bersama para penghibur RWMF di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Johari juga berkata Tuku Kame bakal mengambil bahagian di dalam bengkel muzik RWMF untuk hari Sabtu dan Ahad ini di Kampung Budaya Sarawak.
“Bagi bengkel, kami mengambil bahagian selama dua hari. Aktiviti yang bakal dilakukan oleh kami ialah persembahan lagu Melayu klasik dan permainan muzik berasaskan buluh (music bamboo).
“Bagi music bamboo ini, kami bakal mengajak para pengunjung untuk bermain alatan muzik berasaskan buluh bersama kami.
“100 batang buluh seperti angklung dan seruling ini, kami akan memainkan alatan muzik tersebut sekali gus mengajak orang ramai untuk bermain bersama kami agar kami boleh memperkenalkan dan mendidik mereka akan alatan muzik ini yang merupakan sebahagian dari identiti Borneo,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Tuku Kame juga dijadikan idola dan rujukan oleh kumpulan penyanyi etnik tempatan dalam mempersembahkan seni mereka.
Tuku Kame bakal mengalunkan irama muzik menerusi gabungan instrumen tradisional Sarawak dari 30 etnik untuk RWMF 2023 ini dan sekaligus bakal beraksi dengan jumlah kumpulannya bersama lapan orang ahli tidak termasuk gabungan bersama kumpulan Buluh Berkocak yang melibatkan dua orang ahli – TVS