KUCHING, 23 Jun: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Seniman Sarawak (SAS) di pejabatnya, Bangunan Baitul Makmur 1, di sini, hari ini.
Tujuan kunjungan hormat adalah untuk menyampaikan momento berupa karya lukisan kenang-kenangan sebagai tanda penghargaan kepada Kerajaan Sarawak yang telah membiayai SAS dalam penganjuran Sarawak-International Art Camp 2022 di Rumah Panjang Annah Rais, Padawan pada 5 hingga 9 Disember 2022 yang lepas.
Kunjungan tersebut diketuai oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) merangkap Menteri Belia dan Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan diiringi Timbalan Menteri MTCP, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.
Turut hadir adalah Presiden SAS Sebastian Jong, Timbalan Presiden SAS Gerald Goh dan Aloysius Ho yang telah menghasilkan karya tersebut dan juga merupakan artis senior. – TVS