SARIKEI, 23 Jun: Masyarakat Islam harus mengungguli amanah keilmuan dalam melahirkan insan dan ummah terbilang sejajar dengan perubahan masa.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang adalah penting bagi melahirkan cendekiawan dan ilmuan yang mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.
“Pengetahuan ilmu adalah kuasa atau tiket untuk seseorang itu pergi ke mana-mana tempat seperti angkasa lepas dan sebagainya.
“Penguasaan ilmu akan dapat melahirkan cendekiawan Islam agar dapat maju dan bersaing di peringkat antarabangsa dan masa akan datang,” katanya pada Majlis Tilawah al-Quran ke-43, Pertandingan Nasyid sempena Seminar Penerapan Nilai-Nilai Murni dalam Perkhidmatan Awam di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata al-Quran adalah kitab suci yang kekal sifatnya, panduan utama kehidupan dan memberi petunjuk kepada umat Islam agar sentiasa berada dalam landasan yang betul.
“Manakala perbahasan dan pengajaran yang diketengahkan di dalam al-Quran membawa banyak manfaat kepada umat manusia keseluruhannya.
“Sehubungan itu, kita menganjurkan majlis amat mulia seperti ini agar kita menjadikan kitab suci al-Quran ini sebagai panduan utama di dalam kehidupan kita khasnya di dalam kita melayari tugas-tugas mulia kita di mana-mana jabatan,” katanya lagi.
Program tersebut dianjurkan bersama Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) dan Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Sarikei, Persatuan Kebajikan Islam Perubatan (PERKIP) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak. – TVS