KUCHING, 23 Jun: Kumpulan Suk Binie bakal membuka tirai persembahan Rainforest World Music Festival (RMWF) 2023 pada malam ketiga, Ahad ini.
Pemain Sape, Adrian Zachary berkata muzik yang bakal dipersembahkan selalu digunakan dalam acara ritual kaum Bidayuh, tetapi akan digabungkan dengan elemen muzik moden.
“Persembahan kami akan menggabungkan alat muzik tradisional seperti sape, seruling dan gendang Bidayuh bersama gitar bass dan piano.
“Kami sangat teruja untuk persembahan kami kali ini kerana kami telah telah membuat persiapan dengan baik untuk menyampaikan beberapa lagu baru kami,” katanya kepada TVS di sini, hari ini.
Suk Binie telah berkecimpung dalam industri musik sejak 2014 dan telah menjadi juara Waterfront Music Festival pada 2017.
Sejak itu mereka telah terlibat dalam pelbagai persembahan di dalam negara dan juga di peringkat antarabangsa.
“Kumpulan kami ingin sekali menyertai festival musik PASIWALI di Taiwan. Itu adalah rancangan kami untuk masa ini dan dalam masa dua tahun lagi, kami akan mengeluarkan album baharu,” tambah Adrian.
Selain Adrian, Suk Binie terdiri daripada Louis Lance, Brandon Ivan, Mex Jenssan, Josaphet Kluivert, Johnny Meeddy dan Samson Kidau yang tidak dapat hadir pada temubual atas urusan kerja.
Orang ramai dijemput hadir untuk menyaksikan persembahan bertaraf dunia di RWMF 2023 dan tiket boleh diperolehi menerusi www.rwmf.net – TVS