KUCHING, 23 Jun: Pemuzik antarabangsa, Kumi Masunaga dari Jepun dan Steve Thornton dari Amerika Syarikat merupakan antara barisan artis yang bakal menggegarkan pentas Rainforest World Music Festival (RWMF) 2023 yang bermula malam ini.
Kedua-dua ahli muzik tersebut mengakui berdebar, namun teruja kerana ini merupakan kali pertama mereka membuat persembahan pada festival muzik berprestij itu.
“Ini merupakan kali pertama saya (membuat persembahan) dan saya sangat teruja dengan Rainforest World Music Festival kerana ia merupakan satu festival muzik yang ideal yang menyatukan komuniti dan berkongsi citarasa berbeza, selain membawa kepelbagaian dalam perpaduan dan penghargaan budaya. Saya sangat sukakannya,” ujar Kumi.
Selain Kumi, Steve yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan beberapa artis tanah air seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Sheila Majid dan kumpulan Raihan, turut berkongsi perasaan serupa.
“Ini merupakan kali pertama saya datang ke Rainforest World Music Festival dan saya telah mendengar banyak cerita mengenai Rainforest World Music Festival. Saya tertanya-tanya kenapalah saya tidak pernah datang?
“Tetapi ini kali pertama mereka menjemput saya datang dan saya membawa ahli-ahli muzik dan artis persembahan saya ke sini. Saya sangat gembira dan bangga kerana berpeluang melakukan itu,” katanya ketika ditemui pada majlis makan malam di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, artis berkumpulan tempatan yang tidak asing lagi, At Adau menjanjikan persembahan yang berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Ujar salah seorang ahli kumpulan, Jackson Lian Ngau, RWMF 2023 menandakan tahun ketujuh penglibatan mereka sebagai barisan artis yang membuat persembahan.
“Tahun ini kami akan membuat sedikit pembaharuan dalam lagu dan akan memberi kejutan kepada semua orang. Tidak seperti sebelum ini, sebelum ini mungkin kami hanya bermain instrumental saja. Tetapi tahun ini, nantikan.
“Harapan kami agar lebih ramai lagi penglibatan orang tempatan datang, bukan sahaja artis berkumpulan tetapi para penonton yang datang untuk memberi sokongan kepada artis tempatan dan antarabangsa di Sarawak,” katanya.
Penganjuran RWMF 2023 ini juga telah menarik kedatangan seorang pencipta kandungan YouTube terkenal, Muhammad Fikri Mohd Zamri.
Beliau yang datang atas jemputan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) berkongsi keterujaannya untuk meneroka apa yang menarik di Sarawak, khasnya pada festival muzik tersebut.
“Sebelum ini saya ada tengok kawan-kawan berkongsi mengenai RWMF. Memang menarik sebenarnya sebab saya pernah datang ke Kampung Budaya Sarawak sebelum ini, memang tempat itu cantik dengan rumah-rumah etniknya dan sebagainya.
“Apabila saya tahu RWMF akan dibuat di Kampung Budaya, saya datang sekali lagi di sini. Dapat tengok tempat-tempat itu dan saya ada juga dengar muzik persembahan itu. Saya rasa tertarik nak dengar lagi,” jelas beliau.
RWMF yang merupakan festival muzik tahunan yang meraikan kepelbagaian muzik dunia mula membuka tirai pentasnya di Kuching, Sarawak pada tahun 1997. – TVS