KUCHING, 23 Jun: Seorang pemuda dari London mengambil inisiatif berbasikal dari Kota Kinabalu ke Kuching, sejauh 1,138 kilometer selama 10 hari dengan membawa misi meraih dana untuk kesedaran kesihatan mental.
Boru McCullagh, 24, berkata, beliau mengambil masa tiga hari di Sabah dan tujuh hari berkayuh di sekitar Sarawak yang bermula dari Kota Kinabalu, Miri, Bintulu, Sibu, Sarikei, Betong, Debak, Serian dan akhirnya di Kuching.
“Setakat ini saya telah meraih hampir RM90,000 (15,000 GBP) untuk Mind UK Charity. Ia merupakan badan amal kesedaran kesihatan mental untuk sesiapa yang sedang melalui waktu sukar.
“Saya berbasikal mengelilingi seluruh dunia dan orang ramai suka melihat apa yang saya lakukan, jadi orang ramai menderma kepada badan amal kerana tujuan itu,” katanya ketika ditemui TVS, hari ini.
Beliau mula berbasikal dari Kota Kinabalu pada 9 Jun dan berehat beberapa hari di Brunei sebelum meneruskan perjalanan ke Kuching. Beliau tiba di Kuching, semalam.
Pada masa sama, Boru mengatakan hasratnya untuk berkunjung ke Borneo dan Lebuhraya Pan Borneo sekali gus memudahkan perjalanan beliau untuk berbasikal merentas Sarawak dan Sabah.
Beliau turut menghadapi pelbagai cabaran sepanjang perjalanan itu terutamanya hujan lebat dan tempat yang terhad untuk berteduh namun tidak mematahkan semangat untuk teruskan perjalanan ke Kuching.
“Dari Miri ke Bintulu, Bintulu ke Sibu saya terpaksa berkayuh dalam hujan. Sepanjang jalan lebuh raya tiada tempat berteduh jadi saya teruskan jua. Ia amat sukar, namun ia membuatkan saya rasa puas hati dan saya sukakan itu.
“Daripada semua tempat di Malaysia yang telah saya lawati, Debak ialah kegemaran saya. Semua orang di sana sangat ramah dan menyokong apa yang saya lakukan.
“Saya ada singgah sebentar di Betong dan Lachau untuk berehat, dan orang tempatan akan mendekati saya dengan memberi air dan makanan untuk bekalan saya sepanjang perjalanan,” katanya.
Bagi perancangan akan datang, Boru akan mensasarkan kayuhan ke Kedah minggu depan setelah meluangkan masa beberapa hari di Kuching dengan tidak melepaskan peluang untuk bertandang ke Rainforest World Music Festival (RWMF) yang berlangsung hari ini sehingga Ahad.
“Saya akan ke RWMF hari ini dan esok saya akan berbasikal dengan sahabat-sahabat di sini yang saya kenal dari media sosial dan meneroka di sekitar Kuching.
“Saya berharap saya mempunyai masa yang panjang kerana saya sukakan suasana Kuching yang penuh dengan semangat dan kemeriahan, namun saya akan berangkat balik pada Ahad ini,” katanya. – TVS