KUCHING, 22 Jun: Sarawak merekodkan resit pelancongan berjumlah RM4.11 bilion bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, kata Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak berkata, perolehan itu memberi petunjuk yang sektor berkenaan berada pada fasa pemulihan seperti sebelum pandemik COVID-19 melanda.
Kata Abdul Karim, pada 2019, industri pelancongan di Sarawak merupakan antara sektor ekonomi penting yang menjana perolehan sebanyak RM11.57 bilion.
“Hari ini, kita melihat trend yang semakin bertambah baik kerana bagi Januari hingga Mei 2023, kita mencatatkan pendapatan resit pelancongan sebanyak RM4.11 bilion berbanding RM4.46 bilion dalam tempoh yang sama pada 2019,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Forum Pengalaman Destinasi PATA (Pacific Asia Travel Association) dan Mart 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Sarawak rekod RM3.27 bilion resit pelancongan empat bulan pertama 2023
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.
Abdul Karim menambah, Sarawak menjangkakan ketibaan pelawat melebihi sasaran tiga juta tahun ini.
Kata beliau perkara itu mampu dicapai berikutan jumlah kedatangan pelancongan mencapai 1.6 juta bagi Januari hingga Mei tahun ini.
“Ini menunjukkan pemulihan 90.1 peratus berbanding bilangan tempoh yang sama pada 2019,” kata beliau.
Jelasnya, pemulihan berterusan sepanjang tahun ini didorong oleh kehadiran pelawat domestik dan antarabangsa yang memberangsangkan.
Untuk rekod, Sarawak mencatatkan pendapatan resit pelancongan berjumlah RM3.27 bilion bagi Januari hingga April tahun ini.
Dalam pada itu, mengulas mengenai Forum Pengalaman Destinasi PATA dan Mart 2023, Abdul Karim berkata, ia merupakan platform untuk mendengar pandangan, pemikiran dan perspektif yang bermakna daripada golongan atasan dengan tema Kelestarian dalam Tindakan.
“Forum ini menghimpunkan kumpulan peneraju pemikir dan profesional industri yang berpengalaman.Oleh itu manfaatkan peluang ini untuk mempamerkan jejak kemampanan yang kukuh dan pelancongan yang bertanggungjawab di rantau ini,” katanya.
Forum selama tiga hari berakhir esok ini turut disokong oleh Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dengan mengfokuskan kepada empat komponen iaitu pengalaman destinasi, persidangan, pameran perdagangan pengembaraan dan pelbagai peluang rangkaian.
Antara peserta yang hadir termasuk ahli Persatuan Pelancongan Asia Pasifik yang baharu pulang menghadiri Sidang Kemuncak Tahunan PATA dan Adventure Mart di Pokhara, Nepal pada 30 Mei hingga 2 Jun lalu. -TVS