Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh pada perasmian Majlis Pelancaran ke-4 Anugerah Kecemerlangan Industri Premier Sarawak (PSIEA) 2023 di sini, hari ini. Foto: TVS

Pertumbuhan ekonomi Sarawak lebih baik berbanding kadar nasional – Awang Tengah

ByRegina Lee

KUCHING, 22 Jun: Pertumbuhan ekonomi Sarawak di bawah pimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg lebih baik berbanding kadar yang dicatatkan pada peringkat nasional.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kepimpinan Premier Sarawak itu berjaya melonjakkan pertumbuhan ekonomi di sini menerusi kepelbagaian polisi ekonomi yang dicetuskan oleh belia.

“Sarawak berada pada kedudukan yang baik untuk mengalu-alukan pelabur.

“Kita kekal sebagai antara destinasi pelaburan paling popular di Malaysia terutamanya untuk sektor pembuatan,” katanya.

Awang Tengah berkata demikian menerusi teks ucapan beliau yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh pada Majlis Pelancaran Kali Keempat Anugerah Kecemerlangan Industri Premier Sarawak (PSIEA) 2023, di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) Dato Sri Abang Abdul Karim Tun Datuk Abang Openg, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Jefri Ahmad Tambi.

Majlis berkenaan merupakan inisiatif kerajaan untuk menggalakkan perniagaan mempertingkatkan amalan pengurusan dan membawa kepada peningkatan dalam kualiti produk dan perkhidmatan.

Sektor swasta antara penyumbang pertumbuhan ekonomi Sarawak

Sementara itu, Awang Tengah berkata, sektor swasta khususnya pembuatan berpotensi menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi Sarawak.

Menurut beliau, sektor berkenaan antara enam sektor ekonomi yang telah dikenal pasti menerajui pertumbuhan ekonomi yang menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak enam hingga lapan peratus setahun.

“Penerapan inovasi dan teknologi baharu ketika pandemik merupakan antara faktor sektor swasta muncul sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negeri.

“Menerusi inovasi dan penggunaan pendigitalan yang merentasi sektor, usahawan membuka peluang baharu untuk Sarawak maju ke hadapan.

“Saya harap sektor swasta terutamanya komuniti perniagaan akan turut membantu, menyumbang serta memainkan peranan penting bagi memartabatkan ekonomi kita melalui sektor lain,” katanya lagi. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan