KOTA KINABALU, 22 Jun: Generasi muda di negara ini perlu mengetahui betapa pentingnya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Datuk Armizan Mohd. Ali.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas – Tugas Khas) berkata, MA63 merupakan hak rakyat di Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu beliau mahu generasi muda khususnya golongan pelajar supaya mempunyai kefahaman tentang fakta sebenar mengenai perjanjian itu.
“MA63 bukan untuk masyarakat di Sabah dan Sarawak sahaja tetapi seluruh rakyat Malaysia perlu mempunyai pengetahuan dan ini merupakan tanggungjawab bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perundingan Pelajar Sabah di sini hari ini.
Armizan menambah pengetahuan mengenai MA63 penting agar rakyat tidak mudah keliru dengan kenyataan – kenyataan pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Ini termasuk tindakan (pihak tertentu) yang cuba untuk memberikan fakta salah (malah) memperdagangkan MA63 sebagai modal untuk kepentingan diri atau kepentingan sempit kepartian,” katanya. -TVS