GEORGE TOWN, 22 Jun: Sebuah bot nelayan asing ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas dikesan menceroboh perairan negara di kedudukan 45 batu nautika barat daya Pulau Kendi dekat sini semalam.
Pada operasi kira-kira pukul 12 tengah hari menggunakan kapal KM Burau itu, empat kru yang berada di atas bot turut ditahan.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot dari Indonesia berkenaan didapati tidak mempunyai nombor pendaftaran.
“Kru-kru warga Indonesia berusia antara 20 hingga 40 tahun turut ditahan di atas bot selepas dipercayai menangkap ikan di perairan negara.
“Pemeriksaan mendapati kru dan tekong itu juga tiada dokumen pengenalan diri dan pas perjalanan untuk memasuki Malaysia,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Ujarnya, APMM turut merampas 20 kilogram (kg) ikan bercampur yang sempat ditangkap nelayan terbabit dan dibawa ke Limbungan Batu Maung di sini bagi pemeriksaan lanjut.
Dalam perkembangan berbeza, Abd Razak berkata, pihaknya turut menahan sebuah bot tempatan kelas C di 26 batu nautika barat daya Pulau Kendi kira-kira pukul 1.30 petang semalam selepas didapati menggajikan pekerja warga asing untuk menangkap ikan.
“Empat kru termasuk tekong warga Myanmar berusia 36 hingga 56 tahun ditahan selepas didapati gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.
“Turut disita adalah kira-kira 200 kg hasil tangkapan bernilai RM600 bagi siasatan lanjut,” katanya lagi.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63. – TVS