KUCHING, 21 Jun: Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Martin Ben menyambut baik cadangan penubuhan agensi khusus bagi meningkatkan keterjaminan makanan sebagai agenda nasional.
Beliau berkata, Sarawak telah memulakan langkah dalam memastikan keterjaminan makanan, namun tidak pernah memaklumkan usaha tersebut kepada umum.
Menurutnya, idea penubuhan agensi itu dibentangkan pada Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) awal tahun ini sebagai salah satu inisiatif mengurangkan kos sara hidup rakyat.
“Saya rasa kita telah memulakannya (usaha bagi menjamin makanan) tetapi belum memaklumkan kepada umum.
“Hampir setiap negara bercakap mengenai isu keterjaminan makanan dan saya rasa sudah tiba masanya untuk kita meneliti isu tersebut dan meletakkan tumpuan ke atasnya,” katanya ketika ditanya mengenai cadangan penubuhan agensi bagi meningkatkan keterjaminan makanan seperti yang dibahaskan dalam Dewan Negara baru-baru ini.
Terdahulu Martin hadir ke program Malam Kesenian Bidayuh 2023 bersempena Bazar Gawai 2023 yang diadakan di pekarangan Dewan Masyarakat Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) malam tadi. – TVS