KUCHING, 21 Jun: Pesta Gedong 2023 yang bakal kembali pada 28 hingga 30 Julai 2023 menyasarkan seramai 100,000 pengunjung dari dalam dan luar daerah berkenaan, kata Wakil Khas Premier Sarawak di Gedong Datuk Mohd Naroden Majais.
Naroden yang juga Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) berkata pihaknya menjanjikan pesta tiga hari itu akan dianjurkan berskala besar kali ini.
“Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah memberi lampu hijau bagi penganjuran ini.
“Pesta ini juga secara tidak langsung sebagai julung kali diadakan sejak Abang Johari menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pesta Gedong di sini, hari ini.
Dalam pada itu Naroden berkata, penganjuran pesta Gedong juga bertujuan untuk mengangkat daerah Gedong sebagai daerah yang baharu namun pada masa sama mampu bersaing dan setanding dengan daerah yang lain.
Ia juga katanya sekali gus mewujudkan peluang perniagaan dan menonjolkan kepelbagaian produk hasil tani daerah Gedong, khasnya buah-buahan tempatan.
“Menjadikan daerah Gedong sebagai destinasi pelancongan domestik di Sarawak dan khasnya tidak ketinggalan dalam kalendar pelancongan bahagian Samarahan serta pergi jauh dalam kalendar pelancongan negeri dalam tempoh tiga tahun,” ujarnya.
Pelbagai aktiviti dijadual yang akan memeriahkan pesta Gedong pada edisi kali ini, antaranya menurut Naroden ialah Regatta Gedong, pertandingan rakit berhias, pertandingan memancing, battle of the band, pertandingan karaoke, pertandingan Mr body fitness, pertandingan poco-poco, Batak Lampong (gusti lengan), ratu cantik Pesta Gedong, Gedong Kitchen dan banyak lagi.
Sementara itu tambah Naroden lagi pertandingan sukan rakyat seperti ‘beremak pantey’ juga dijangka akan menjadi tumpuan pengunjung yang datang dari luar daerah itu.
Justeru itu, Naroden mempelawa orang ramai datang berkunjung ke Gedong untuk merasai sendiri keunikan pesta Gedong yang akan disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada majlis penutupannya nanti. – TVS