KAJANG, 21 Jun: Dua lelaki yang dipercayai terlibat memukul pekerja kedai serbaneka di Semenyih, Selangor pagi semalam ditahan polis.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Mohd. Zaid Hassan berkata, kedua – dua suspek ditahan di tempat berbeza hari ini.
Kata beliau, seorang suspek ditahan pada pukul 11.30 pagi tadi Seremban manakala seorang lagi diberkas di Sepang pada pukul 12.30 tengah hari.
“Polis turut merampas dua buah telefon bimbit bagi membantu siasatan.
“Hasil pemeriksaan lanjut suspek yang ditangkap masing-masing mempunyai satu rekod lampau melibatkan kes jenayah dan dadah,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Penjenayah ‘selfie’ selepas pukul pekerja kedai serbaneka diburu polis
Semalam tular video seorang pekerja dipukul dua lelaki dalam kejadian di Semenyih Selangor.
Suspek turut memuat naik swafotonya bersama mangsa yang berdarah di muka selepas ditumbuk.
Mohd. Zaid memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan. -TVS