IPOH, 21 Jun: Polis memberkas seorang lelaki warga asing yang didakwa meraba seorang wanita warga tempatan di tapak pasar malam Taman Perpaduan, Tambun di sini semalam.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Yahaya Hassan berkata, suspek berusia 20 tahun ditahan selepas pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 36 tahun.
“Laporan itu dibuat oleh mangsa semalam sebelum penangkapannya dibuat.
“Suspek direman selama tiga hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujarnya, polis turut mengesan satu video berdurasi 14 saat di media sosial yang memaparkan satu kes tangkapan suspek cabul kehormatan yang menarik perhatian umum.
“Dengan tertangkapnya suspek, maka kes ini berjaya diselesaikan dan polis akan lengkapkan siasatan kes untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pertuduhan.
“Justeru orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi mengenai video tersebut sehingga menjejaskan siasatan polis atau mendatangkan kegusaran masyarakat,” katanya lagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Kesesaan. – TVS