KUCHING, 21 Jun: Bahagian Kapit bakal menjadi tuan rumah sambutan Hari Belia Sarawak 2023 pada 26 hingga 28 Oktober depan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sambutan tiga hari itu bakal diadakan pada skala sederhana.
Menurutnya, keputusan berkenaan berikutan jawatankuasa penganjur mengambil kira beberapa faktor seperti kawasan penginapan dan lokasi sambutan yang tidak dapat menampung jumlah pengunjung yang ramai.
“Kami (jawatankuasa) telah bersetuju untuk mengecilkan skala sambutan kali ini kerana tempat penginapan, lokasi perasmian untuk mendirikan khemah dan menjalankan aktiviti belia tidak dapat melibatkan jumlah (pengunjung) yang banyak seperti Kuching, Miri dan Bintulu.
“Kami juga telah menerima maklumat daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kapit jika dicampur dengan jumlah rakyat yang akan hadir dikhuatiri berlakunya kesesakan lalu lintas,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Sambutan Hari Belia Sarawak 2023 di Bangunan Baitulmakmur 2, di sini pada Rabu.
Namun begitu, menurut Abdul Karim, remier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual akan merasmikan sambutan yang bakal disertai kira-kira 1,500 peserta belia daripada pelbagai badan pakaian seragam.
Dalam pada itu, Abdul Karim meyakini meskipun sambutan berskala sederhana, semangat mengiktiraf dan menghargai peranan golongan belia kepada negeri tidak akan luntur.
“Kita mengadakan sambutan Hari Belia setiap tahun untuk menghargai pentingnya peranan golongan belia dalam masyarakat yang akan menjadi pewaris kepada pembangunan negeri kelak,” tegasnya.
Kemuncak sambutan menyaksikan penganugerahan Anugerah Tokoh Belia merangkumi Tokoh Belia Wanita, Tokoh Belia Lelaki dan Tokoh Organisasi Belia. – TVS